Rabu, 25 Februari 2015

AirAsia X catat kerugian pracukai RM605.18j

MALAYSIAKINI


 


AirAsia X Bhd mencatat kerugian sebelum cukai RM605.18 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 berbanding kerugian sebelum cukai RM212.06 juta yang dicatat pada 2013.
  
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, AirAsia X berkata, kerugian sebelum cukai itu disebabkan kenaikan perbelanjaan operasi kepada RM3.32 bilion pada 2014, naik 33.9 peratus tahun ke tahun.
              
Pendapatan bagaimanapun meningkat kepada RM2.94 bilion semasa tempoh kajian berbanding RM2.31 bilion yang dicatat sebelum ini.
              
"Pendapatan yang lebih kukuh itu disebabkan sumbangan lebih tinggi penerbangan berjadual yang termasuk surcaj bahan api yang meningkat 10.4 peratus berikutan pertambahan dalam kapasiti tempat duduk setiap kilometer.
              
"Di antara penyumbang kepada kerugian itu ialah peningkatan dalam kos kakitangan sebanyak 33.9 peratus kepada RM312.7 juta; susut nilai harta, peningkatan loji dan peralatan sebanyak 53.4 peratus kepada RM185 juta dan perbelanjaan bahan api pesawat yang meningkat 38 peratus kepada RM1.52 bilion," katanya.
              
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata, berikutan beberapa nahas pesawat pada 2014, pencapaian jualan di Australia dan China terjejas.
Bernama

Tiada ulasan: