Isnin, 26 Januari 2015

'Selesai pertelingkahan pilihan raya PBT dalam majlis presiden'

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic



SHAH ALAM: Selesai isu pertelingkahan mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) antara PAS dan DAP dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat (MPPR), kata Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Katanya, pemimpin daripada ketiga-tiga parti komponen Pakatan itu perlu duduk semeja untuk berbincang dan mencapai satu penyelesaian terbaik.

"Ini perlu diselesaikan di peringkat pakatan rakyat.

"Saya pasti bila diadakan mesyuarat presiden, perkara ini akan dibincangkan dan sudah tentu kekuatan Pakatan Rakyat berpandukan konsensus dan bukan berpandukan pandangan individu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-jabatan Kerajaan, pagi tadi.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menyuarakan kebimbangannya melaksanakan pilihan raya PBT yang diperjuangkan oleh DAP kerana khuatir akan berlaku rusuhan kaum seperti peristiwa 13 Mei berikutan wujudnya jurang ekonomi di antara penduduk bandar dan desa.

Presiden PAS itu berkata, desakan DAP untuk pilihan raya PBT itu akan menyebabkan ketidakstabilan masyarakat majmuk di Malaysia dan hanya menguntungkan sesuatu kaum saja.

Hujah Hadi turut disokong beberapa pemimpin PAS lain yang nyata tidak bersetuju dengan pilihan raya PBT kerana mendakwa ianya menggalakkan monopoli satu kaum sahaja.

Berikutan perdebatan antara pemimpin kedua-dua parti itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan akan menghubungi kedua-dua pemimpin utama parti itu bagi membincangkan perkara berkenaan.

Sumber PKR berkata, Anwar akan menghubungi Hadi dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini dan berkemungkinan mesyuarat pimpinan presiden Pakatan Rakyat akan diadakan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun sehingga kini masih tidak diketahui bila mesyuarat tersebut akan diadakan.

Sejak kemelut menteri besar Selangor tercetus, Pakatan kini sudah hampir enam bulan tidak mengadakan mesyuarat pimpinannya.

Ia berikutan berpunca daripada tindakan PAS yang ingin meneruskan pelaksanaan hudud di Kelantan, yang mana ia mendapat tentangan DAP.

Kit Siang sendiri sebelum ini mengeluarkan kenyataan mahu memboikot mesyuarat majlis presiden akan datang ekoran tidak bersetuju dengan agenda hudud PAS.

Isu pilihan raya PBT menjadi polemik hangat apabila DAP ingin melaksanakan cadangan itu di Pulau Pinang selepas ia dimansuhkan kerajaan pusat pada 1976.

Tiada ulasan: