Sabtu, 31 Januari 2015

Selangor rekod kes bangkrap tertinggi tahun lepas

 THE MALAYSIAN INSIDER


Selangor merekodkan kes bankrap tertinggi dengan 6,668 kes daripada jumlah 22,305 kes yang direkodkan di seluruh negara, sepanjang tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri (gambar, kanan).


Beliau berkata Kuala Lumpur pula mencatat 3,279 kes diikuti Johor Baharu (2,699 kes), Pulau Pinang (1,579 kes) dan Kedah (1,076 kes).

Berdasarkan data yang dimiliki Jabatan Insolvensi, jumlah kes kebankrapan yang direkodkan sejak 1924 hingga tahun lepas adalah 265,564 kes dengan lebih separuh iaitu sebanyak 144,474 kes direkod sepanjang tahun 2007 hingga 2014, katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.


Nancy berkata peningkatan kes bankrap dilihat ketara sejak 2007 dengan 13,238 kes direkodkan dan didaftarkan, meningkat kepada 13,855 kes (2008), 16,228 kes (2009), 18,119 (2010), 19,167 (2011), 19,575 kes (2012) dan 21,987 kes (2013). Antara punca bankrap ialah kes sewa beli kenderaan yang meningkat dengan ketara sejak 2007 hingga tahun lepas dengan mencatat 39,082 kes, katanya.

Ini diikuti pinjaman perumahan dan pinjaman peribadi yang masing-masing mencatatkan 25,616 kes dan 24,041 kes untuk tempoh lapan tahun tersebut.

Nancy berkata pekerja sektor swasta merupakan golongan terbanyak yang menghadapi kes kebankrapan dengan sebanyak 47,403 kes direkodkan sepanjang 2007 hingga 2014 diikuti peniaga (17,024 kes), pekerja sendiri (9,837 kes), professional (5,295) dan sektor awam (3,959 kes), katanya. – Bernama

Tiada ulasan: