Isnin, 26 Januari 2015

Pas Kedah meletak kerja untuk kembali berkuasa

MSO


Inisiatif Pas Kuala Kedah mengadakan Kenduri Rakyat kelmarin dengan "memadah" presiden Pas Abdul Hadi Awang sebagai tetamu istimewa adalah satu langkah baik ke arah menguraikan kekusutan kecil yang berlaku dalam Pas Kedah dewasa ini dan juga antara presiden Pas itu dengan Phahrolrazi Mohd Zawawi.


Abdul Hadi, Phahrolrazi makan semeja.
Majlis itu juga menampakkan ada kesimpulan baru yang diambil oleh Pas Kedah dan ianya perlu disokong oleh semua orang.

Tidak syak lagi majlis seumpama itu boleh mengeratkan hubungan sesama ahli dan penyokong Pas Kedah dan juga sesama pemimpin. Ianya juga tentu dapat membangkitkan semangat dan mengeratkan ukhwah ahli dan penyokong Pas Kedah untuk mempedulikan Kedah, selepas mereka "terkanyak" dengan kekalahan dalam pilihan raya umum lalu sehingga hilang kerajaan negeri.

Apakah kenduri semalam akan membuka langkah panjang membawa kenduri besar selepas ini apabila dalam pilihan raya ke -14 nanti Pas akan menggengam semula negeri Jelapan Padi itu? Tidak mustahil sekiranya Pas Kedah dapat membulatkan tekad sesamanya dan menjalinkan hubungan baik dengan seluruh pemimpin di peringkat pusat dan negeri, Pas mampu mengulangi sejarah menawan semula Kedah.

Sebahagian yang hadir pada Kenduri Rakyat.
Iya itulah yang mungkin diharapkan dan digarapkan disebalik kenduri berkenaan. Kenduri Rakyat semalam bolehlah dijadikan upacara meletak kerja Pas Kedah untuk bergerak sederap bagi mengembalikan maruah mereka yang hilang pada pilihan raya lalu. Perasaan rasa kecil hati dan tersingung sesama sendiri kerana "terkanyak" disebabkan kerajaan negeri hilang harus dipadamkan dan ia perlu bermula semalam.

Saya yakin bukan sahaja saya, tetapi ramai yang senang dengan program berkenaan. Melihat kemesraan antara Presiden Pas dengan Adun
Pengkalan Kundur, Phahrolrazi Mohd Zawawi yang sebelum ini ada yang mengira suasana itu tidak akan wujud lagi, bahkan mungkin ada yang berusaha agar Abdul Hadi tidak lagi bersua dengan Phahrolrazi atas kepentingan-kepentingan tertentu?

Mereka yang hadir tentu meraut tangan ke muka setelah membaca doa kesejahtaraan untuk Pas Kedah dalam hati masing-masing. Al maklumlah sebelum ini dengan sedikit percanggahan dan kritikan pedas oleh sesetengah pihak atas usaha Phahrolrazi dan rakan-rakan menubuh Ngo bernama Persatuan Ummah Sejahtra Malaysia (Pasma), ada yang mengira tidak mungkin kedua mereka dapat duduk bersekali lagi dan meratib butir zikir yang sama.

Tetapi dengan apa yang dipamerkan di majlis itu, dimana Abdul Hadi duduk bersama Phahrolrazi sebagai anak dengan bapa atau kawan baik yang agak lama tidak makan sekali, tetapi semalam duduk bersama saling senduk nasi dan gulai memberi gambaran ketinggian politik kedua-dua presiden itu. Ia menunjukkan hubungan mereka selaku ikhwan dan ahli parti agama begitu kukuh dan kejap bagaikan air dicincang tidak akan putus. Aksi semalam menyejukan jiwa yang memerhatinya.

Sebenarnya kalau dihayati dengan fikiran terbuka dan ilmu siasah yang luas, tidak ada apa persengketaan atau ketegangan antara kedua mereka. Perbezaan pendapat adalah untuk meraut kejernihan sejati. Seperti mana jelas Phahrolrazi beliau menubuhkan Pasma adalah untuk menjadi benteng kepada Pas. Ia bagi memastikan Pas bersama Pakatan Rakyat yang mana tujuan dan maksudnya agar Pakatan Rakyat kekal seperti sedia kala. Tidak lebih daripada itu. Bukankah tujuan itu juga demi memelihara maruah dan wibawa presiden?

Sekiranya maksud Pasma itu dilihat dengan jilah dan bukan prejudis akan nampak keikhlasan dan kesungguhan Pasma disitu yang mana Ngo itu menyayangi Pas sebenarnya dan masih meletakkan Abdul Hadi dimimbar tertinggi kepimpinan.

Mahfuz menyampaikan ucapan alu-aluan.
Ada pun tanggapan dan persepsi mengatakan penubuhan Pasma membawa agenda jahat dari itu (hendak menyingkirkan Abdul Hadi sebagai prsiden) adalah datang dari mereka yang tidak tahu membaca suhu dan arah mata angin politik. Tidak dapat menjamah kemurnian orang yang menegurnya. Apa lagi mereka yang suka kalau Pas berpecah dan dipecah-pecahkan. Apakah mereka yang berusaha mengapi-apikan Pasma dengan Pas dan memberi tafsiran mengelirukan itu sebenarnya membawa suara musuh?

Dalam hal ini saya mengira Abdul Hadi sendiri tidak yakin dengan tanggapan demikian dan beliau tidak perlu pun merasa gentar dengan ilusi-ilusi berbagai menerusi Pasma itu. Kedudukan beliau sebagai presiden tidak akan tergugat kerana tidak ada sesiapa pun yang tergamak untuk mencabar beliau.

Rasa hormat dan kasih kepada beliau masih meluas di dalam Pas bukan sahaja selaku ketua tetapi sebagai Tuan Guru. Bukan mudah untuk Pas mendapat seorang Abdul Hadi dan ianya tidak boleh dibayar walaupun berapa banyak wang disediakan. Abdul Hadi sengaja dilahirkan untuk menjadi pemimpin parti agama. Justeru beliau mendapat kedudukan dan pengikhtirafan istimewa dalam Pas. Abdul Hadi seumpama kelapa tua yang akan menghasilkan santan yang bermutu dan berminyak dalam Pas. Ini hakikat.

Teguran dan pandangan beliau terhadap Pasma kalau pun ada sebelum ini anggaplah sebagai gurauaan politik untuk exercise  mental sahaja yang boleh mencergaskan fizikal Pas untuk berhadapan dengan musuh dan segala macam seteru. Pas perlu dilengkap dengan pelbagai ilmu dan pengalaman bagi merealisikan hasrat Pas untuk muncul menjadi parti unggul dalam Pakatan Rakyat. Bukankan itu cita-cita bersama Pas yang tepat. Dan ingatlah kata-kata arwah ayah saya; sebengkeng mana kerbau ia tidak akan menanduk anaknya sendiri.

Dan sebenarnya saya yakin Abdul Hadi tidak pun takut dan merasa gentar dengan apa sahaja kritikan dan cemuhan ke atasnya. Sebagai seorang presiden yang sudah masak dengan politik yang telah mengutik pengalaman dari seluruh benua menerusi jalur dakwahnya, dia dapat menerima apa yang berlaku itu juga untuk menyempurnakan dia sebagai pemimpin bersifat makhluk Allah yang tidak dapat hindar dari dosa.

Dengan apa yang berlaku beliau juga dapat memuhasabahkan dirinya. Sekiranya Abdul Hadi dapat memantapkan reputasinya, membuat sedikit "ralat rasa" tanpa menimbulkan polemik baru dalam cerana politik Pas dia akan dapat mati sambil bersela dalam perjuangan dan martabatnya akan terangkat.

Adalah diharap kenduri semalam akan mencetuskan fonemena baru dalam Pas Kedah. Dengan bermula di Kuala Kedah itu ia akan merebak ke kawasan lain selepas ini. Hendaknya lebih banyak lagi kenduri-kenduri "anak" diadakan di Kedah. Dan lagi kerap Abdul Hadi turun dan menghadiri kenduri, bermahabbah, mengambil peduli,  ia mempercepatkan pemulihan hubungan sesama pepimpinn Pas Kedah yang dilihat sedikit kalut kerana kekalahan dialami itu. Abdul Hadi dengan kedudukannya selaku presiden perlu menjadikan dirinya sebagai biduk di Kedah untuk menangkupkan kiambang-kiambang yang berpecai di negeri itu.

Eloklah kalau Pas Kedah meredakan rasa sedih, duka dan marah untuk berpadu menjadi kuat dan sebuah parti yang konfident. Pimpinan Pas Kedah khasnya perlu mengambil sikap positif memberi keyakinan kepada ahli dan penyokongnya, bahawa parti itu berjaya merampas baik Kedah pada pilihan raya akan datang. Paling diharap ialah kerjasama antara Mahfuz Omar dengan Phahrolrazi perlu mantap kerana mereka adakan dua sosok yang menjadi harapan Pas di Kedah.

Sekalung tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat menganjur dan menghadiri kenduri berkenaan. 

 * Foto dari Facebook Aris Awang, terima kasih.

Tiada ulasan: