Isnin, 26 Januari 2015

Mahmud Kahwini Dua Wanita Lain Tanpa Kebenaran Isteri


MSTAR ONLINE


 
 
 
KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Tun Abdul Taib,pada Rabu memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini bahawa beliau berpoligami ketika masih bergelar suami kepada bekas isterinya, Shahnaz Abdul Majid.

Katanya beliau bernikah dengan seorang wanita warga Australia bernama Louisse Karen Hiley atau nama Islam, Louisse Aida Hiley, pada sekitar tahun 1999 dan 2000.

Katanya, perkahwinannya di Narathiwat, Thailand, yang hanya bertahan kurang daripada dua tahun itu dikurniakan seorang anak lelaki bernama Adam Faris, berusia 14 tahun.

"Saya kemudian bernikah dengan seorang lagi wanita daripada Rusia, Elena Vasilenko pada April 2003 di tempat sama (Narathiwat) dan dikurniakan tiga anak," katanya ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes tuntutan mutaah yang difailkan Shahnaz, kakak kepada ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid, berjumlah RM100 juta.

Pada 11 Mei 2011, Mahkamah Tinggi Syariah mengesahkan perceraian talak satu antara Mahmud Abu Bekir dengan Shahnaz yang berkahwin pada 9 Jan 1992 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya, 22.

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan cadangan peguam syarie Akbardin Abdul Kadir yang mewakili Shahnaz, bahawa kedua-dua perkahwinan di Narathiwat itu tidak mendapat kebenaran untuk berpoligami.

Beliau juga memaklumkan perkahwinan kali kedua turut dilakukan di tempat sama (Thailand) kerana ia lebih senang dan cepat.

Sementara itu, beliau turut menafikan telah melakukan penderaan emosi dan mental terhadap Shahnaz termasuk menghalangnya (Shahnaz) daripada memakai tudung selepas mereka mengerjakan ibadat haji pada 1995.

Anak Yang Dipertua Negeri Sarawak itu, menafikan tindakannya yang menyembunyikan berita perkahwinannya dengan dua wanita tersebut adalah untuk mengaibkan dan memalukan bekas isterinya (Shahnaz).

Beliau juga menafikan tindakannya membawa Louisse Hiley, ke majlis perkahwinan adik perempuannya, Datuk Hanifa Hajar Taib pada 1999, adalah bertujuan menyisihkan dan memalukan Shahnaz.

"Untuk penjelasan, perempuan (Louisse Hiley) itu adalah isteri saya ketika di majlis itu. Ibu bapa saya turut ada bersama," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Muhamad Abdul Karim Wahab bersambung 29 Januari depan.

Tiada ulasan: