Khamis, 29 Januari 2015

Krisis MIC: Palanivel, Subra akan 'diam diri'

MALAYSIAKINI


 


Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan timbalannya Datuk Seri Dr S.Subramaniam akan 'berdiam diri' bagi menyelesaikan krisis dalaman parti yang timbul berikutan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya diadakan pemilihan semula.
  
"Kami akan mengadakan moratorium. Saya tidak mahu krisis parti menjadi bertambah buruk," kata Palanivel dalam satu kenyataan hari ini.
  
Beliau tidak menyatakan bila mereka berbuat demikian dan tempoh untuk berdiam diri itu.
  
Palanivel berkata moratorium itu akan memberikan peluang kepada beliau dan Dr Subramaniam "suatu tempoh yang bukan dalam keadaan krisis untuk menyelesaikan isu-isu yang berbangkit."
  
"Kami akan berjumpa dan berbincang mengenai tindakan seterusnya yang akan memuaskan hati semua pihak, secepat mungkin," katanya.
  
Palanivel berkata melalui moratorium itu akan membolehkan beliau dan Dr Subramaniam berjumpa perdana menteri dan pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk mencari penyelesaian terbaik kepada krisis parti.
  
Perbezaan pendapat timbul dalam MIC berikutan arahan ROS supaya parti itu mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan Naib Presiden dan 23 anggota jawatankuasa pusat (CWC).
  
Dalam surat bertarikh 5 Disember lepas, ROS mengarahkan jawatan tersebut dipilih semula dalam tempoh 90 hari berikutan dakwaan wujud penyelewengan dan perbuatan salah laku yang melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan dalam pemilihan yang diadakan semasa perhimpunan agung parti itu di Melaka pada 30 November 2013.
  
Berikutan rayuan, RoS telah menghantar satu lagi surat melanjutkan tempoh 90 hari kepada 120 bagi parti mengadakan pemilihan semula.- Bernama

Tiada ulasan: