Bustamin menunjukkan kawasan pertanian yang menggunakan baja najis ayam sehingga menyebabkan bau busuk dan masalah lalat. Bustamin menunjukkan kawasan pertanian yang menggunakan baja najis ayam sehingga menyebabkan bau busuk dan masalah lalat.
 
 
KLUANG - Hampir 60 keluarga di Taman Desa Sejahtera, di sini, hidup dikelilingi lalat sepanjang tahun, dipercayai berpunca daripada kerja pertanian berdekatan.

Ketua Umno cawangan Taman Desa Sejahtera, Bustamin Idris berkata, baja digunakan adalah najis ayam hingga menarik lalat membiak dan menjejaskan kehidupan penduduk di sini.

“Jarak taman itu ke kebun sayur tidak sampai 20 meter. Selain diganggu dengan masalah lalat, penduduk di sini terpaksa berdepan bau busuk terutama selepas hujan,” katanya.

Bustamin berkata, sejak dia berpindah ke taman tersebut kira-kira empat tahun lalu, penduduk telah membuat aduan kepada pihak Pejabat Tanah Daerah Kluang, namun belum ada tindakan diambil.

“Difahamkan semua peneroka terbabit telah diberikan tanah ganti di Lot 5156 berhampiran Felda Kahang Barat, namun mereka masih meneruskan kerja pertanian di sini.

“Kami harap agar tindakan lebih tegas dapat diambil bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.

Sementara itu, penduduk, Jamil Hassan, 56, berkata, penduduk mahu aktiviti pertanian di kawasan itu dihentikan segera kerana tidak sanggup terus menghidu bau busuk selain berhadapan masalah lalat yang berpanjangan sejak sekian lama.

“Walau apa pun alasannya, kami tak mahu lagi melihat tapak pertanian di sini, kami terpaksa tanggung sengsara sepanjang tahun, namun mereka yang kaut keuntungan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kluang, Mohd Faiz Azman ketika ditemui berkata, pihaknya sedia maklum masalah dihadapi penduduk taman tersebut, dan kompaun dan notis telah dikeluarkan.

Menurutnya, pihaknya telah memaklumkan kepada peneroka terbabit untuk berpindah segera selain tidak menggunakan baja yang mengeluarkan bau busuk, seterusnya mengundang lalat.

“Kami akan membuat siasatan tentang masalah dihadapi penduduk di sini dalam masa terdekat, selain mengharapkan kerjasama mereka melaporkan apa juga perkara berkaitan kepada kami untuk diambil tindakan,” katanya.