Khamis, 29 Januari 2015

Banjir: Pahang alami kerugian lebih RM610 juta

 THE MALAYSIAN INSIDER


Sebanyak RM610 juta kerugian dicatat dalam bencana banjir yang melanda Pahang baru-baru ini berikutan kemusnahan harta benda, hasil pertanian dan infrastruktur.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob (gambar, kanan) berkata dalam bencana banjir terburuk selepas 1971 itu, sebanyak RM348.5 juta kerugian  dicatatkan daripada kerosakan infrastruktur melibatkan jalan raya, jambatan dan kemudahan awam di negeri ini.

"Untuk sektor pertanian, kita  mengalami kerugian lebih RM65.1 juta dan sebanyak 219 rumah di tujuh daerah termasuk Jerantut, Kuantan, Lipis dan Temerloh juga  musnah dalam kejadian bencana alam itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Penyelarasan Pasca Banjir Negeri Pahang bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini. Adnan berkata, kerajaan negeri akan memberi keutamaan untuk membina rumah mangsa banjir yang  musnah dengan seberapa segera melibatkan kos antara RM40,000 hingga RM45,000 untuk setiap rumah.

"Kita akan mendapatkan bantuan daripada Kor Jurutera Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu bagi tujuan itu.

"Rumah yang terjejas teruk kita dimaklumkan mereka diberikan bantuan RM10,000 dan kurang teruk sebanyak RM4,000 hingga RM5,000," katanya.

Katanya sepanjang tempoh banjir, kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM3.5 juta juta bagi bantuan segera kepada mangsa banjir termasuk makanan serta barangan keperluan selain RM3.1 juta yang disumbangkan badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan.

Adnan berkata dalam masa yang sama kerajaan negeri itu juga  bersiap sedia menghadapi gelombang banjir ketiga yang diramal akan berlaku pada bulan Mac nanti. – Bernama

Tiada ulasan: