Rabu, 31 Disember 2014

‘RON95, diesel sepatutnya kurang dari RM1.90’

MALAYSIAKINI


 


MP PKR, Rafizi Ramli mendakwa pengguna sepatutnya membayar kurang daripada harga RM1.90 untuk petrol RON95 dan diesel.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan semalam bahawa harga kedua-dua bahan api tersebut akan diletakkan di antara RM1.90 dan RM1.95 bermula Januari.

Rafizi berkata, harga RON95 sepatutnya ditetapkan pada kadar RM1.75 dan RM1.79.

Katanya, kadar itu termasuk margin keuntungan dan bayaran balik kos yang dijanjikan oleh kerajaan kepada syarikat pengeluar minyak, sebanyak 32 sen seliter untuk RON95 dan 23 sen seliter untuk diesel.

Beliau memberi alasan, harga pasaran RON95 dan diesel masing-masing sudahpun turun ke paras RM1.43 dan RM1.56 pada 30 Disember.

Rafizi seterusnya mendakwa, kerajaan mengaut keuntungan tambahan daripada cukai petrol secara senyap-senyap kerana harga tersebut sudahpun turun seawal 1 Disember lalu.

Naib presiden PKR itu turut mengemukakan carta yang menunjukkan bahawa harga RON95 dan diesel termasuk keuntungan masing-masing adalah RM2.05 dan RM2.10 sejak awal bulan ini, dan terus menurun dengan sekata sehinggalah ke paras harga 30 Disember.

“Oleh kerana rakyat terus membayar pada harga yang lebih tinggi dari harga pasaran (walaupun tanpa subsidi), BN mendapat durian runtuh dengan mengutip cukai petrol tanpa diumumkan kepada rakyat.

“...Jumlah cukai petrol yang dikutip secara senyap oleh kerajaan bagi Disember 2014 ialah RM633 juta tanpa diketahui oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Rafizi seterusnya menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan perbelanjaan yang dibuat daripada kutipan cukai tersebut.

Beliau turut mengulangi gesaannya agar subsidi bahan api diperkenalkan semula agar harga RON95 dan diesel di pam masing-masing boleh dikurangkan kepada RM1.61 dan RM1.64.
 

Tiada ulasan: