Mangsa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur. Mangsa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
 
 
KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis berhadapan detik cemas, apabila tangan kanan putus selepas diserang sekumpulan 10 lelaki dengan bersenjatakan parang dan kayu di sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi, mangsa berusia 27 tahun berada di dalam pusat hiburan tersebut sebelum didatangi sekumpulan lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Wira dan BMW.

Menurut sumber, kejadian itu berkemungkinan bermotifkan dendam susulan berlaku kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal dipercayai melanggar sebuah kereta di Jalan Bukit Bintang, pada 24 Disember lalu.

“Kejadian itu menyebabkan berlaku pertengkaran hingga mencetuskan pergaduhan dengan beberapa lelaki lain,” katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya sedang mengenal pasti suspek melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Kita turut merampas parang yang dipercayai digunakan suspek. Mangsa yang berkhidmat di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.