Rabu, 31 Disember 2014

Mayat nahas AirAsia akan diterbangkan ke Surabaya

BERNAMA 


JAKARTA: Kesemua mayat nahas pesawat AirAsia QZ8501 akan diterbangkan ke Surabaya untuk dikenal pasti oleh pihak berkuasa.

Laporan sebuah portal berita Suara.Com Rabu memetik jurucakap Pasukan Mencari dan Menyelamat Nasional (SAR) Bambang Soelistyo sebagai berkata dalam operasi tengah malam semalam hingga awal pagi tadi, pasukan SAR menemui tiga lagi mayat iaitu seorang wanita yang berpakaian pramugari dan dua lelaki.

"Dalam pencarian dari tadi malam hingga pagi ini, sudah kita temukan tiga jenazah. Satu perempuan yang berpakaian pramugari, dan dua laki-laki," kata Bambang.

Katanya, mayat berkenaan akan diterbangkan ke Surabaya, setelah dibersihkan di Pangkalan Bun.

Beliau juga berkata, dengan penemuan tiga mayat itu, setakat ini sebanyak enam mayat telah ditemukan dalam operasi SAR di kawasan perairan berkenaan sejak semalam.

Kesemua mayat itu ditemui terapung di kawasan perairan berhampiran Pangkalan Bun di Kalimantan Tengah.

Pesawat Airbus A320-200 itu membawa 162 penumpang dan anak kapal, berlepas dari Surabaya, Indonesia, pada 5.20 pagi Ahad dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 8.30 pagi hari sama.

Kali terakhir pesawat itu berhubung dengan Menara Kawalan Trafik Udara pada 6.12 pagi waktu Indonesia (7.12 pagi waktu Malaysia).

Penumpang pesawat itu terdiri daripada 149 warga Indonesia, tiga Korea Selatan, masing-masing seorang warga Singapura, seorang warga Malaysia dan seorang warga United Kingdom.

Kru pesawat itu terdiri daripada enam warga Indonesia dan seorang warga Perancis. - BERNAMA

Tiada ulasan: