Grafik Sinar Online Grafik Sinar Online
 
 
KUALA LUMPUR - Umno Selangor hari ini menggesa kepimpinan tertinggi parti supaya memberi kepercayaan kepada mereka memilih calon-calon yang berwibawa untuk bertanding pada PRU14 akan datang.

Wakil Selangor dari Bahagian Subang, Datuk Zein Isma Ismail berkata, ini perlu kerana antara punca kekalahan Barisan Nasional (BN) di negeri itu  ialah pemilihan calon yang salah dan keadaan 'dua nakhoda dalam satu kapal'.

"Selepas kami berusaha, membanting tulang, memerah keringat selama tiga tahun mendatang ini, janganlah diulang kesilapan lama. Berikanlah pengiktirafan kepada kami untuk memilih calon-calon yang layak yang akan kami perkenalkan lebih  awal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) di sini, hari ini.

Zein Isma turut mencadangkan Majlis Tertinggi (MT) mewujudkan pendekatan "bapa angkat" di setiap kawasan Dun dan Parlimen terpilih di negeri itu.

Kepimpinan Umno Selangor sebelum ini menerima kritikan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa beberapa pemimpin Umno di negeri itu berundur setelah kalah pada PRU12 dan PRU13.

Zein Isma berkata, kepimpinan perlu memahami konsep politik bandar, merangkumi tiga perkara teras iaitu politik pembelaan, politik memikat dan politik persepsi atau pengurusan isu. - Bernama