Sabtu, 29 November 2014

Ucapan wakil Umno kebal daripada Akta Hasutan?

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Di sebalik Akta Hasutan 1948 dikekalkan, Perhimpunan Agung Umno bergema dengan ucapan perwakilan yang terus menyentuh isu-isu kaum dengan menyerang pihak lain yang dianggap cuba mengancam dan menggugat mereka.

Tanpa menyedari bahawa Dewan Merdeka bukanlah parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri yang memberikan kekebalan untuk bercakap apa saja, ramai jurucakap dalam perhimpunan itu seakan terlupa hakikat itu, tulis Shahbudin Husin dalam blognya.

Menurutnya, banyak nada rasis, perkauman, serangan dan sentuhan hal-hal sensitif melibatkan kaum lain dapat didengar dalam perhimpunan kali ini.

"Sebagai meraikan kejayaan mengekalkan Akta Hasutan, lebih ramai yang tampil mahu menjadi juara bangsa pada perhimpunan kali ini kerana menganggapnya suatu kejayaan bagi mereka," tulisnya.

Justeru, bagi beliau untuk membuktikan bahawa Akta Hasutan dikekalkan tidak semata-mata untuk kepentingan dirinya atau Umno, sesuatu yang harus Presiden Umno, Datuk Seri Najib buktikan ialah berani mengenakan dakwaan di bawah akta tersebut ke atas mana-mana perwakilan yang berucap pada kali ini yang didapati melampau dari segi menyentuh isu berkaitan kaum, bangsa atau agama lain.

"Jurucakap-jurucakap ini hakikatnya tidak kebal sama-sekali seperti mana wakil-rakyat di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri bercakap dan berhujah," ujarnya.

Beliau berpandangan, oleh kerana Dewan Merdeka PWTC bukanlah parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri yang mempunyai kekebalan dan melindungi sesiapa daripada bercakap apa saja, Najib tidak harus 'double standard' kerana akta itu seharusnya dilaksanakan secara adil dan menyeluruh.

Menurutnya lagi, jika ini dapat dilakukan Najib sebaik berakhirnya Perhimpunan Agung Umno, beliau mungkin dapat meraih sedikit kepercayaan daripada rakyat yang selama ini ragu-ragu dengan tujuan dan keikhlasannya mengekalkan Akta Hasutan itu. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: