Khamis, 27 November 2014

Soalan MP PAS dituju kepada PM pada hari terakhir

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Pertanyaan bagi jawab lisan daripada ahli-ahli parlimen PAS pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat hari ini banyak ditujukan kepada Perdana Menteri.

Daripada 10 soalan yang disenaraikan, lima daripadanya meminta penjelasan daripada Perdana Menteri, sebagaimana di bawah.

Wan Hasan Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Kesihatan menyatakan jaminan kemajuan pembangunan Hospital Dungun yang baharu dapat disiapkan sepenuhnya mengikut jadual.

Datuk Kamarudin Jaffar [Tumpat] minta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh Kementerian untuk mempertahankan hak negara kita di Kepulauan Spratly khususnya akibat daripada pengambilalihan dan dakwaan pembinaan Pengkalan Maritim di pulau tersebut oleh sebuah negara asing.

Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad [Pasir Puteh] minta Perdana Menteri menyatakan selaras dengan perlaksanaan indeks syariah yang akan digunakan menjelang tahun 2015, minta Kerajaan jelaskan sejauh mana kajian yang telah di buat (sekiranya ada) terhadap undang-undang jenayah sekarang berpandu kepada indeks syariah yang akan dilaksanakan nanti.

Ahmad Marzuk Shaary [Bachok] minta Perdana Menteri menyatakan apakah alasan kuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memilih hari Khamis 25 September 2014 sebagai tarikh pengundian

Pilihan Raya Kecil N.01 Pengkalan Kubor, Kelantan. Adakah SPR menyedari pemilihan tarikh berkenaan menyukarkan pengundi-pengundi yang bermastautin di luar Kelantan untuk balik mengundi. Apakah ada cadangan berkesan oleh SPR dalam usaha memudahkan pengundi-pengundi yang berada jauh daripada pusat-pusat pengundian.

Dr. Mohd Hatta Md. Ramli [Kuala Krai] minta Perdana Menteri menyatakan sama ada pemaju hartanah tempatan khususnya di Johor mampu bersaing dengan pemaju hartanah daripada negara China yang hanya melabur di Wilayah Iskandar.

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat] minta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air menyatakan jumlah import dan eksport tenaga elektrik dari dan ke negara jiran melalui interconnection yang ada sepanjang tahun 2014.

Dr. Hajah Siti Mariah Mahmud [Kota Raja] minta Menteri Kewangan menyatakan perancangan terperinci menyelamatkan MAS daripada kebankrapan.

Ahmad Baihaki Atiqullah [Kubang Kerian] minta Perdana Menteri menyatakan berapakah peruntukan pembangunan negeri Kelantan yang telah disalurkan oleh Kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) bagi tahun 2013 dan bagaimanakah pelaksanaannya.
Mohamed Hanipa bin Maidin [Sepang] minta Perdana Menteri menyatakan:-

(a) apakah pendirian sebenar Kerajaan terhadap Akta Hasutan, adakah akan dihapuskan seperti dijanjikan atau tidak; dan

(b) berapakah jumlah kes-kes pendakwaan di bawah Akta Hasutan selepas Perdana Menteri mengisytiharkan akan memansuhkan akta tersebut dan berapakah kos yang telah ditanggung oleh Kerajaan sehingga kini bagi kos kes-kes pendakwaan tersebut.

Khalid Abdul Samad [Shah Alam] minta Menteri Kewangan menyatakan respon kerajaan terhadap kritikan Tun Dr. Mahathir berhubung 1MDB.

Dewan Rakyat yang memulakan persidangan pada 7 Oktober lalu berakhir pada hari ini, diikuti Dewan Negara yang dijadualkan bersidang pada 1 hingga 18 Disember depan. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: