Ahad, 30 November 2014

Kaki ditemui terapung di tali air

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
NIBONG TEBAL: Sebelah kaki dari lutut hingga tapak kaki ditemui terapung di tebing tali air di Jalan Kampung Permatang, Sungai Bakap, di sini, hari ini, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supt Wan Hasan Wan Ahmad.
 
Beliau berkata, kaki kanan itu ditemui pada kira-kira 4 petang tadi, tidak jauh dari lokasi mayat seorang lelaki tanpa kepala, tangan dan kaki ditemui penduduk kampung berkenaan pada Khamis lepas.
 
"Kaki yang masih dilengkapi seluar jean itu ditemui oleh seorang lelaki yang melalui kawasan berkenaan sebelum memaklumkannya kepada polis. Ia dipercayai hanyut dan tersangkut di tebing itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
 
Beliau berkata, kaki itu dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat.
 
"Setakat ini, polis tidak dapat memastikan sama ada kaki itu mempunyai kaitan dengan penemuan mayat tanpa kepala, tangan dan kaki sebelum ini. Kami kena tunggu laporan bedah siasat," katanya.
 
Wan Hassan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
 
Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.
 
Isnin lepas, satu bungkusan berisi kepala manusia ditemui di tiang berhampiran sebuah kedai makan di Taman Impian Ria, Bukit Mertajam.
 
Pada Khamis pula, mayat tanpa kepala dan tangan yang disumbat dalam guni ditemui penduduk kampung dalam tali air di Sungai Bakap.

Tiada ulasan: