Jumaat, 28 November 2014

Hanya MAS bayar pampasan kepada waris mangsa MH370 setakat ini

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Hanya Malaysia Airlines (MAS) yang akan membayar pampasan kepada keluarga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak Mac lepas, setakat ini.
 
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata jumlah pampasan yang akan dibayar kepada keluarga mangsa dinilai berdasarkan Montreal Convention 1999 dan pembuktian kerugian yang ditanggung setiap penumpang.
 
"Namun, MAS menawarkan wang pendahuluan pampasan berjumlah US$50,000 sebagai sebahagian daripada bayaran pampasan penuh kepada setiap waris dan keluarga penumpang selepas kesemua dokumen sokongan yang diperlukan dikemukakan oleh waris dan keluarga penumpang," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat Khamis.
 
Beliau menjawab soalan Mohamed Hanipa Maidin (PAS-Sepang) yang meminta Liow menjelaskan sama ada kerajaan atau MAS ada membayar apa-apa pampasan kepada keluarga mangsa MH370, dan berapa jumlahnya.
 
Liow berkata sebanyak RM32.6 juta dibelanjakan kerajaan setakat ini bagi menampung kos operasi mencari dan menyelamat susulan kehilangan pesawat Boeing 777 itu.
 
Pesawat MH370 dengan 227 penumpang serta 12 anak kapal dalam perjalanan ke Beijing apabila ia hilang kira-kira sejam selepas memulakan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 8 Mac lepas.

Tiada ulasan: