Selasa, 28 Oktober 2014

Statistik terkini jumlah permohonan kes murtad

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: PAS meminta Perdana Menteri menyatakan apakah statistik terkini jumlah permohonan kes murtad bagi penganut agama Islam dan apakah langkah penyelesaian yang sudah diambil untuk menanganinya.  

Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengemukakan soalan demikian dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi ini.

Soalan daripada ahli-ahli parlimen PAS yang turut disenaraikan hari ini seperti di bawah.

Datuk Kamarudin Jaffar [Tumpat] minta Menteri Luar Negeri menyatakan adakah Kerajaan bercadang membuka pejabat Konsulat General Malaysia di Istanbul memandangkan pentingnya kota itu untuk rakyat dan negara kita.

Idris Ahmad [Bukit Gantang] minta Menteri Kerja Raya menyatakan berapakah kadar pungutan yang diperoleh oleh PLUS daripada cukai 3% kepada peniaga mengikut setiap R&R PLUS di seluruh negara.  

Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena] minta Perdana Menteri menyatakan:-   \

(a) statistik terkini penjawat awam Persekutuan serta pengambilan penjawat awam secara lantikan tetap dari tahun 2010 hingga 2014 dan adakah Kerajaan bercadang mewujudkan proses pengambilan dalam pengisian oleh penjawat awam sedia ada yang berpengalaman dan berkelayakan untuk mengisi jawatan lebih tinggi yang dibuka pada orang awam; dan (b) jumlah penjawat awam mengikut gred yang akan bersara wajib pada usia 60 tahun berkuat kuasa tahun 2014 dan jumlah mereka yang disambung perkhidmatan secara kontrak.

Ustaz Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali [Kuala Nerus] minta Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani menyatakan sasaran yang telah dicapai oleh Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) untuk melahirkan usahawan belia dalam industri padi negara.  

Dr Izani Husin [Pengkalan Chepa] minta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatanmenyatakan sejauh manakah sambutan sektor industri terhadap Konsep Ekologi Perindustrian yang bakal diwujudkan di bawah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA).  

Dr. Che Rosli Che Mat [Hulu Langat] minta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air menyatakan peranan yang dimainkan oleh “Malaysian Green Technology Corporation (MGTC)” dalam mempromosikan Teknologi Hijau di negara ini. Sejauh manakah pencapaian MGTC berbanding objektif awal yang disasarkan. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: