Khamis, 30 Oktober 2014

Peguam Bela Anwar Timbulkan Kemungkinan Sampel Rektum Milik Orang Lain

MSTAR ONLINE


 
 
 
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini Rabu diberitahu bahawa terdapat kemungkinan anlisis yang dilakukan dua ahli kimia terhadap sampel palitan yang diserah kepada mereka oleh pegawai penyiasat diambil daripada orang lain, bukan daripada Mohd Saiful Bukhari Azlan.


Ramkarpal Singh, seorang daripada peguam yang mewakili Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan analisis terhadap sampel itu menunjukkan DNA yang diambil daripada tiga palitan daripada rektum pengadu (Mohd Saiful) berada dalam keadaan asli.

Katanya ia bercanggah dengan sejarah sampel selama hampir 96 jam setelah ia diambil tiga doktor Hospital Kuala Lumpur.

Ramkarpal memberitahu panel lima anggota hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria bahawa penjelasan saintifik bagi sampel yang boleh mengalami biodegrasi, terutama dari mana sampel berkenaan diambil (rektum), akan menunjukkan bahawa berlaku degradasi sekiranya ia melebihi tempoh 36 jam.

Beliau berkata, malah dua ahli kimia berkenaan sendiri, Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon, mengaku dalam pemeriksaan balas bahawa 'berlaku banyak degradasi' dalam tiga sampel yang diambil daripada rektum atas dan bawah Mohd Saiful.

Kata Ramkarpal keadaan itu menyebabkan berlaku degradasi DNA dalam sampel berkenaan, sesuatu yang sangat penting.

"Ini tidak konsisten dengan sampel yang diambil daripada PW1 (Saksi Pendakwa 1, Mohd Saiful) yang menimbulkan keraguan serius sama ada sampel yang dibuat analisis itu sebenarnya diambil daripada PW1," kata beliau.

Peguam itu menegaskan bahawa tempohnya melebihi 36 jam dan analisis terhadap sampel berkenaan menunjukkan ia berada dalam keadaan tidak tercemar.

Katanya Mahkamah Rayuan terkhilaf kerana tidak melihat isu itu, yang mewujudkan keraguan serius dalam kes ini kerana pihak pendakwaan gagal memanggil saksi pematah untuk menjelaskannya.

"Satu-satunya kesimpulan yang boleh dibuat tentang isu ini ialah sampel berkenan berkemungkinan tidak sama dengan yang diserahkan kepada Jabatan Kimia," katanya.

Apabila Arifin bertanya kepada ketua pendakwa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sama ada beliau bersetuju dengan hujah itu, Muhammad Shafee berkata pihak pendakwaaan mempunyai penjelasan sendiri tentang isu itu dan akan memberi respons dalam jawapan mereka pada Khamis.

Ramkarpal juga menimbulkan isu pencemaran dengan berkata Dr Seah mengaku terdapat satu lagi DNA milik seorang lelaki lain, selain Mohd Saiful, yang dikenali sebagai 'Male Y'.

(Untuk rekod, dalam kes pendawka, DNA 'Male Y' merujuk kepada Anwar).

"Kehadiran satu lagi DNA dalam sampel yang diambil daripada rektum Mohd Saiful menunjukkan kemungkinan telah berlaku pencemaran di mana, kami tidak boleh mengetepikan ia mungkin milik pegawai penyiasat Jude Pereira (Supt Bersara Judy Blacious Pereira), yang mengendalikan sampel berkenaan," katanya.

Beliau menggesa Mahkamah Apex itu meneliti pendapat pakar dua saksi pembelaan iaitu Prof David Lawrence Wells dan Dr Brian Leslie Mcdonald bahawa untuk mengelak uwujudnya kemungkinan itu, sampel berkenaan sepatutnya diserahkan dengan serta merta kepada Jabatan Kimia.

Ramkarpal berkata hingga kini, tiada siapa yang tahu siapakah pihak ketiga itu.

Katanya walaupuan hakim perbicaraan memutuskan bahawa wujud kes prima facie, namun terdapat jarak serius dalam rantaian bukti, tetapi beliau membuat keputusan tepat pada akhir kes pembelaan dengan membebaskan Anwar, terutama setelah mengambil kira pandangan pakar daripada Wells dan Dr Mcdonald.

Ramkarpal berkata Mahkamah Rayuan gagal menilai isu berkaitan degradasi dan pencemaran apabila mensabitkan kesalahan Anwar, dan oleh itu, Mahkamah Persekutuan perlu memperbetulkan keputusan itu.

Perbicaran disambung pada Khamis, dengan Ramkarpal dijadual menyambung hujahnya pada sesi pagi, manakala Muhammad Shafee akan menjawab di sebelah petang.

Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar, 67, bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 26 Jun 2008.

Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: