Lim Guan Eng Lim Guan Eng
 
 
GEORGETOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggesa Kerajaan Pusat menjelaskan penjimatan yang diperoleh daripada penarikan semula subsidi bahan api akan dipulangkan kepada rakyat ataupun sebaliknya.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata, menurut Laporan Ekonomi 2014/2015 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, penjimatan untuk bahan api setelah subsidi ditarik semula berjumlah RM23.2 bilion untuk tahun ini.

“Oleh demikian, kerajaan negeri ingin tahu, adakah penjimatan RM23.2 bilion itu akan dipulangkan kepada rakyat semula? Sepatutnya, penjimatan itu perlu disalurkan kepada rakyat terutamanya kepada yang memerlukan.

“Kita minta kerajaan Pusat menjelaskan perkara ini kepada semua rakyat supaya mereka tahu, ada penjimatan tetapi tidak disalurkan semula kepada rakyat,” katanya kepada media semalam.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng memberi saranan kepada kerajaan Pusat agar mengadakan rundingan dengan rakyat dan persatuan untuk membincangkan mekanisme yang sesuai untuk digunakan dalam usaha melaksanakan skim rasionalisasi subsidi bahan api tahun depan.

Menurutnya, perkara itu perlu diadakan secara menyeluruh bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan serta subsidi yang diperuntukkan diberi kepada golongan yang memerlukan.

“Sekiranya kerajaan ingin melaksanakan mekanisme itu, mereka perlu mengadakan rundingan secara menyeluruh bersama rakyat dan persatuan bagi mengelakkan sebarang penyelewengan serta subsidi dinikmati oleh golongan yang benar-benar memerlukan.

Sehingga ini, kita masih tidak tahu bagaimana ia (mekanisme) itu akan dilaksanakan. Bagi saya, banyak isu berhubung pelaksanaannya dan apa jaminan kerajaan Pusat bahawa tidak akan berlaku penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan. Adalah lebih baik rundingan dibuat supaya prinsip keadilan, kesaksamaan ekonomi dapat ditegakkan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengumumkan skim rasionalisasi subsidi bahan api yang akan dilaksanakan tahun depan akan dibahagikan kepada tiga peringkat, bergantung kepada pendapatan bulanan.

Menurutnya, mereka yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan, akan terus menikmati subsidi bahan api manakala yang berpendapatan melepasi RM10,000 tidak layak.

Ahmad Husni berkata, mekanismenya masih dikaji secara terperinci oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPNDKK).