Khamis, 18 September 2014

Tanah rizab Melayu: Dah ambil ganti balik

 
Sepatutnya tanah rizab Melayu sepanjang masa kekal 50 peratus sebagaimana yang terkandung dalam perlembagaan negara dan selaras dengan wasiat Raja-Raja Melayu.


Ibrahim_ali


PETALING JAYA: Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mendesak Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM) menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi mengambil tindakan untuk memastikan rizab Melayu yang belum diganti diselesaikan segera.

Menurut Ibrahim, Ahli Majlis Tertinggi Umno juga patut menubuhkan jawatankuasa untuk tujuan sama.

“Menjadi kesalahan jenayah jika tanah rizab Melayu tidak diganti mengikut kehendak undang-undang,” katanya kepada FMT.

Gesaan itu dibuat berikutan tanah rizab Melayu kini hanya tinggal 12 peratus sahaja.

“Sepatutnya tanah rizab Melayu kekal 50 peratus sepanjang masa, sebagaimana yang terkandung dalam perlembagaan negara dan selaras dengan wasiat Raja-Raja Melayu.

“Namun rizab Melayu yang diambil tidak diganti sebagaimana yang ditetap oleh undang-undang,” jelasnya.

Tambahnya, beliau sudah beberapa kali membangkitkan perkara tanah rizab Melayu sewaktu menjadi Ahli Dewan Rakyat.

“Selain itu sewaktu Persidangan Agung Perkasa, dua tahun berturut-turut saya telah berucap dalam membentangkan usul mengenai Tanah Rizab Melayu, namun tiada apa-apa tindakan.

“Oleh itu saya rasa isu tanah rizab Melayu makin serius dan kerajaan harus menyelesaikan segera masalah ini,” ujarnya.

Tiada ulasan: