Selasa, 23 September 2014

Tahniah Azmin, 'tautkan yang belah, sambung yang putus dan tampal yang koyak'

YAB Azmin, penyambung kerja baik TS Khalid

ASPAN ALIAS


Sah, Ahli Dewan Undangan negeri Bukit Antarabangsa, yang juga Timbalan Presiden PKR Kebangsaan telah diperkenan Tuanku Sultan Selangor untuk menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan TS Khalid Ibrahim yang dimangsakan oleh Anwar Ibrahim itu. Sekalung tahniah kepada saudara Azmin yang saudara akan memulakan tugasan sebagai Ketua Kerajaan Negeri Selangor berkuatkuasa besok, 23hb September.

Akhirnya terjawab sudah siapa yang telah ditentukan takdir untuk memikul tanggungjawab dan menyambung kerja baik yang telah diselenggarakan oleh TS Khalid Ibrahim sejak enam tahun yang lalu.

Dengan perlantikan Azmin Ali itu, maka jelas ia telah menggagalkan ‘Kajang Move’ yang diatur dan disusun oleh Anwar Ibrahim yang dinasihatkan oleh Penasihat Strategi PKR yang ‘famous’ itu.

Bagi Azmin perlantikan beliau itu tidak boleh diterima sebagai kemenangan peribadi tetapi di sebaliknya terimalah perlantikan itu sebagai satu tanggungjawab berat untuk meneruskan ketelusan pentadbiran negeri Selangor yang begitu baik di bawah TS Khalid Ibrahim dahulu.

Azmin, seorang yang berkelayakan dan mempunyai pengalaman yang luas dalam Dewan Legislatif Negeri Selangor dan begitu mahir dalam mengurus parti yang beliau sama-sama menubuhkannya pada tahun 1998 dahulu.

Walaupun beliau bukan pilihan PKR tetapi ahli-ahli biasa parti itu di Selangor kebanyakan menyokong perlantikan beliau dan dalam keadaan sekarang saya dapati ramai di antara penyokong Khalid Ibrahim pun bersetuju bagi Azmin menggantikan TS Khalid Ibrahim.

Saya berharap Azmin akan menjadi pemimpin negeri yang ‘magnanimous’ seperti yang saya sebutkan pagi tadi dalam posting yang sebelum ini. Jadilah seorang Menteri Besar yang tidak terlalu masuk campur dalam urusan pegawai kerajaan dan pelaksana yang melaksanakan tugas menyempurnakan dasar yang telah ditetapkan.

Jika terlalu banyak masuk campur dalam urusan pelaksana maka memerangani isu rasuah akan tidak tercapai. Parti hanya boleh membuat dan menggubal dasar, tetapi apabila dasar telah digubal, tugas seorang ahli politik termasuk Menteri Besar hanyalah untuk memastikan dasar yang digubal itu terlaksana dengan sempurna.

Saya secara peribadi bergembira dengan perlantikan Azmin ini kerana sememangnya beliau mempunyai sebab dan moral untuk menjadi Menteri Besar sejak dari tahun 2008 lagi. Tetapi apa yang telah dipahat oleh TS Khalid Ibrahim selama enam tahun sebelum ini menjadikan tekanan terhadap Azmin untuk menyamai ketelusan TS Khalid jika tidak melebihinya merupakan satu sasaran yang sangat tinggi bagi Azmin Ali.

Tetapi saya yakin Azmin mampu melakukannya, kerana Azmin sudah belajar banyak, bukan dari kesilapan beliau sendiri tetapi banyak belajar dari kesilapan orang lain khususnya mentor beliau sendiri Anwar Ibrahim.

Kepada Wan Azizah, kita berharap beliau tidak berkecil hati atas perlantikan Azmin, Timbalan beliau dalam PKR. Anggaplah perlantikan Azmin ini seperti perlantikan untuk parti yang tidak ada mana-mana pihak yang menentangnya.

Tentunya pemilihan Azmin ini sudah ditentukan di azali lagi kerana berbagai-bagai pihak yang selama enam tahun ini mahukan jawatan itu, tetapi dalam keadaan sekarang beliau menjadi pilihan dan diharap, beliau akan mampu bekerjasama dengan pihak Istana  dan Legislatif, serta eksekutif dengan baik,.

Ketiga-tiga teras sebuah negeri yang berdaulat seperti Selangor wajar ‘sehayun dan selenggang’ agar negeri tidak kacau-bilau oleh kerana politik sempit yang dibudayakan oleh politik baru sekarang ini.
Setakat ini sahaja komen saya dan akhirnya saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada saudara Azmin Ali, yang telah tepat dan kena masanya untuk dilantik sebagai Menteri Besar bagi menggantikan TS Khalid Ibrahim yang teraniaya itu.

Saya yakin Azmin akan berjaya ‘mentautkan yang belah, menyambung yang putus dan menampal yang koyak’.

Sekali lagi TAHNIAH setinggi-tingginya.

Tiada ulasan: