Jumaat, 19 September 2014

Rakyat kecewa jika PR pecah

MUHAMMAD FAIZAL


BATU PAHAT: Perwakilan Melaka, Yuhaizad Abdullah meminta semua pihak memperkukuhkan Pakatan Rakyat bagi menjaga amanah yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 13 lalu.

Beliau yang berucap pada perbahasan ucapan dasar Presiden mengingatkan pimpinan agar memahami golongan yang telah memilih PAS bagi tujuan membela mereka pada masa akan datang.

"Kadang kala kita lupa, PAS sebenarnya merupakan parti minoriti begitu juga PKR dan DAP. Golongan majoriti dalam Pakatan Rakyat adalah rakyat yang memilih kita.

"Jangan khianati amanah yang mereka berikan, kita perkukuhkan hubungan Pakatan Rakyat ini," ucap beliau pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di sini petang ini.

Menurut beliau suasana politik negeri di Pantai Barat berbeza dengan negeri-negeri lain yang menuntut Pakatan Rakyat terus memperjuangkan nasib mereka.

Yuhaizad bagaimanapun yakin melalui tahaaluf siyasi ini, PAS akan terus beristiqamah di dalam Pakatan Rakyat bagi meneruskan perjuangan dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

"Kita jangan lupa mereka, meninggalkan Pakatan Rakyat memusnahkan harapan mereka.

"Kita perlu menjadi pemimpin umat yang membela rakyat untuk kebajikan mereka," sambung beliau lagi.

Beliau turut menggesa agar setiap ahli PAS menghormati Dewan Ulamak PAS Pusat dan tidak merendahkan kedudukan dewan tertinggi di dalam PAS.

"Dewan Ulamak jangan kita rendah, rendahkan ulamak bermakna kita rendah parti kita sendiri.

"Walaupun wujud pertentangan pendapat, kita perlu saling menghormati mereka yang berada di dalam Dewan Ulamak kerana pengalaman dan ilmu yang mereka miliki,"katanya.

Pada masa sama beliu turut menegur sikap label melabel sesama ahli yang bagi beliau hanya meretakkan lagi hubungan sesama ahli dalam parti.

Sebaiknya ujar beliau, semua pihak saling hormat-menghormati dan menegur secara baik jika terdapat perselisihan.- HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: