Isnin, 22 September 2014

Persetujuan Pusat-MAIK hina mahkamah, kata MP

MALAYSIAKINI


 


PAS mendakwa tindakan kerajaan Persekutuan mengadakan persetujuan bersama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) berhubung pemberian 50 peratus wang ehsan sebagai menghina mahkamah.

Penasihat jentera pilihan raya kecil PAS Pengkalan Kubor Datuk Takiyuddin Hassan mempersoalkan bagaimana persetujuan itu boleh dicapai walaupun kes itu masih dibicarakan di mahkamah.

"Mahkamah belum putuskan lagi soal tiga batu nautika, itu pun belum diputuskan mahkamah. Saya salah seorang peguam yang hadir bagi kes ini.

"Kes ini dalam mahkamah. Tuntutan (masih) dalam mahkamah. Boleh ke kerajaan pusat mengatasi mahkamah? Ini penghinaan mahkamah," katanya pada sidang media di markas PAS DUN Pengkalan Kubor hari ini.

Bagaimanapun, Takiyuddin yang juga MP Kota Bharu wang ehsan sebanyak 50 peratus akan tetap diterima walaupun kes tuntutan royalti minyak masih dibicaralan di mahkamah.

“Persoalan (pembahagian 50 peratus) tak timbul walaupun diberi atau diterima oleh MAIK," kata pengarah operasi pilihan raya PAS Kelantan.

"Kalau hendak bagi (wang ehsan) boleh, tetapi ini bukan penyelesaian tuntutan dari kerajaan Kelantan terhadap Petronas dan kerajaan Pusat,” katanya lagi.

Bukan penyelesaian


Sebelum ini, Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed memberitahu satu persetujuan telah dicapai antara Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan MAIK untuk membahagikan wang ehsan negeri itu secara 50-50 bermula Januari tahun depan..

Mengulas mengenai dokumen laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Tuntutan Kelantan terhadap royalti minyak yang didakwa akan didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Takiyuddin berkata ia bukan penyelesaian bagi kes tuntutan royalti.

Malah, pengamal undang-undang itu menegaskan, kes tuntutan itu tidak akan ditarik balik walaupun wang ehsan atau perbincangan daripada wakil kerajaan negeri dan Persekutuan telah dibuat.

“Memang ada wakil kerajaan negeri iaitu Tengku Mahkota Kelantan. Itu satu siri perbincangan antara kerajaan Pusat dan negeri, belum habis lagi.

"Pengerusi atau wakil ini akan bentang kepada kerajaan negeri dan tuntutan di mahkamah tetap diteruskan. Ini bukan penyelesaian kes.

“Bukan kata kita dapat 50 peratus kita tarik balik kes di mahkamah, tidak. Tidak ada kena mengena langsung. Dia hendak bagi itu isu lain,” katanya lagi

Tiada ulasan: