Anggota bomba yang tiba di lokasi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu. Anggota bomba yang tiba di lokasi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.
 
 
 
KUANTAN- Gara-gara tersilap laluan, seorang pemandu maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan tiga kenderaan ketika dia cuba berpatah balik dengan memandu secara melawan arus di Kilometer 25, Jalan Pintasan Sungai Ular, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, Mohamad Othman, 58,  dari Kemaman, Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Deputi Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, Mohamad Othman yang memandu kereta Perodua Kancil dipercayai dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan menghala ke
Kemaman, Terengganu.

Menurutnya,  sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai tersilap laluan dengan memasuki lorong untuk berpatah balik ke arah bandar ini.

“Menyedari laluan itu salah, mangsa difahamkan berpatah balik dengan memandu secara melawan arus.

“Tindakannya membawa padah apabila kereta dipandu  merempuh tiga kenderaan iaitu van jenis Kia Pregio milik Universiti Teknologi Malaysia (UTM)  dan Toyota Hiace sebelum merempuh kereta Proton Inspira,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Noor berkata, anggota bomba yang tiba di lokasi selepas dihubungi mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

“Bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum mayatnya dikeluarkan dan di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa di tuntut oleh ahli keluarganya bagi urusan pengebumian.

“Siasatan awal mendapati mangsa cuba berpatah balik selepas tersilap laluan, namun tindakannya itu mengundang padah hingga meragut nyawanya apabila bertembung dengan tiga kenderaan lain.

“Pemandu dan penumpang kenderaan lain yang terlibat dilaporkan  tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, kemalangan yang meragut nyawa pemandu itu  di siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1988.

Justeru, beliau menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak bertindak sewenang-wenangnya dengan mengambil mudah aspek keselamatan kerana tindakan  itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah nyawa orang lain.