Jumaat, 19 September 2014

PAS yakin kekal bersama Pakatan Rakyat

MUHAMMAD FAIZAL 



 


BATU PAHAT: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yakin PAS akan terus kekal bersama Pakatan Rakyat dalam memperjuang hak keadilan untuk rakyat.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Muktamar Tahunan PAS Ke-60 di Batu Pahat hari ini. Beliau memberitahu bahawa setiap parti pasti mempunyai masalah masing-masing dan setiap parti perlu faham serta menyelesaikannya.

"Semua ada masalah sendiri, diri kita pun ada masalah jadi apa yang perlu kita lakukan adalah menyelesaikan dengan lebih baik.

"Saya yakin PAS akan kekal dalam Pakatan Rakyat dalam membawa dasar-dasar yang telah kita persetujui," kata beliau.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu lagi, walaupun di dalam Pakatan Rakyat menpunyai syarat yang longgar dan masing-masing boleh menganuti idealogi parti tetapi ia perlu saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.

"Masalah hanya kecil, rakan-rakan PAS di dalam Pakatan Rakyat turut hadir dalam Muktamar kita kali ini dan ini menunjukkan kesefahaman kita masih kekal seperti dulu.

"Selagi tidak berlaku perlanggaran syarat terhadap perkara-perkara dasar iaitu kita mendokong prinsip demokrasi, mendokong keadilan untuk semua," sambung beliau.

Hadi ketika ditanya mengenai krisis yang berlaku di Selangor membabitkan jawatan Menteri Besar, memberitahu setiap permasalah atau krisis tetap ada jalan keluar untuk menyelesaikannya.

"Sudah tentu ada jalan keluar, kita kena ingat di dalam Perlembagaan Persekutuan bukan hanya parti politik yang mempunyai kerusi tetapi juga Raja mengikut perlembagaan.

"Terpulang kepada Baginda Sultan Selangor untuk menbuat keputusan," katanya lagi.

Hadi juga turut mengucapkan terima kasih kepada Badan Perhubungan PAS Johor kerana berjaya menganjurkan Muktamar PAS kali ke-60.

"Pada PRU13 kita berjaya menampilkan jumlah wakil rakyat PAS seramai 4 orang dan ini tanda PAS mampu berkembang di Johor.

"Dengan muktamar ini sekurang-kurangnya kita melatih jentera PAS Johor untuk mengendalikannya pada masa akan datang," sambungnya lagi. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: