Muktamar
 
 
 
BATU PAHAT - PR mempunyai syarat tahaluf siyasi yang longgar, oleh kerana itu setiap parti dalam gabungan itu boleh menggunakan ideologi masing-masing (parti), kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sehubungan itu, beliau menegaskan sekali lagi bahawa prinsip Pas masih lagi teguh bersama PR.

Abdul Hadi juga berkata, buat masa ini tidak berlaku pelanggaran dasar tahaluf siyasi antara parti komponen dalam PR.

"Sehingga ini tidak berlaku lagi perkara yang menyentuh perkara dasar," katanya pada sidang media di Muktamar Tahunan Pas di Parit Salleh Ros, Parit Raja, di sini, hari ini.

Ditanya apa yang dianggap boleh melanggar tahaluf siyasi itu, Abdul Hadi menyatakan, "kita mempunyai prinsip umum iaitu mendukung demokrasi, keadilan kepada semua dan tidak ada percanggahan antara satu sama lain.

Menyentuh soal kemelut Menteri Besar Selangor yang dihadapi PR,  Abdul Hadi yakin masalah itu ada jalan penyelesaiannya.

"Sudah tentu ada jalan keluar. Kita tahu perlembagaan, Pas bukan sahaja parti politik yang ada kerusi dalam pilihan raya, termasuk sultan dalam perlembagaan," katanya.

Abdul Hadi menyifatkan kemelut yang berlaku itu sebagai masalah yang perlu diselesaikan.

"Apa yang berlaku itu bukan insiden tetapi masalah yang perlu diselesaikan. Umno juga ada masalah di Terengganu dan Perlis.

"Memang kita berdepan dengan masalah. Setiap parti ada masalah dan kita yakin dapat menyelesaikannya," katanya.

Beliau juga yakin, hubungan antara parti dalam PR kembali pulih selepas selesai isu terbabit.