Khamis, 18 September 2014

MB baru angkat sumpah Selasa ini

MALAYSIAKINI


 


Menteri besar baru Selangor akan mengangkat sumpah pada jam 10 pagi Selasa depan di Istana Alam Shah, Klang.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.

Difahamkan, kad undangan untuk upacara itu dilapor sudah dihantar kepada pemimpin-pemimpin negeri, wakil rakyat dan orang-orang kenamaan.

Menurut Mohamad Munir lagi, pilihan menteri besar baru itu akan didedahkan kemudian dan keputusan akhir telah dibuat.

Beliau ketika dihubungi bagaimanapun enggan mendedahkan menteri besar baru itu daripada parti mana.

Istiadat itu difahamkan akan diadakan di Balairong Seri istana dan tetamu undangan dikehendaki memakai pakaian kebangsaan dan bersongkok hitam.

Bernama melaporkan, mereka difahamkan Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa Azmin Ali calon yang bakal mengangkat sumpah jawatan tertinggi pentadbiran negeri Selangor itu.

Namun, lapor agensi berita nasional, ketika diminta mengulas perkara itu,  Munir enggan mengesahkannya.

Sementara itu, PKR dan DAP Selangor ketika dihubungi Malaysiakini berkata mereka masih tidak tahu menahu berhubung siapakah calon pilihan sultan itu.

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan timbalannya Azmin Ali juga ketika dihubungi berkata mereka masih belum menerima undangan ke istiadat itu daripada pihak istana.

Ditemui di Muktamar PAS di Johor hari ini, exco Selangor daripada PAS Sallehen Mukhyi enggan mengulas berhubung spekulasi sekitar calon berpotensi.

Nama-nama dilihat berpotensi setakat ini termasuk Azmin, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok daripada PKR Ijok rep Idris Ahmad, Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad dan ADUN PAS Sijangkang Yunus Hairi.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan seorang lagi exco PAS Iskandar Samad berkata mereka tidak menerima apa-apa jemputan berhubung majlis pelantikan itu.

Mustafa berkata PAS pusat memutuskan bahawa jawatan tersebut adalah kerusi yang di berikan kepada rakan sekutunya, PKR.

"Saya tidak dengar apa-apa, saya tak tahu apa-apa. Saya tidak boleh komen perkara yang saya tidak tahu," katanya sambil tidak mahu membuat andaian jika calon PAS dilantik ke jawatan itu.

"Terserah kepada sultan. Memang kita tidak boleh (masuk campur), sebab dia (Sultan) kuasa prerogatif dia. Dan biasanya kita sudah mengalami banyak negeri macam tu. Suka tak suka, tak tahulah.

"Semua kena terima bukan sahaja PAS," katanya bagi menjawab soalan sama ada PAS bersetuju dengan keputuan sultan selepas ini.

Mengulas perkara yang sama, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata: "Kita tetap dengan keputusan 7 September."



Laporan tambahan oleh Abdul Rahim Sabri dan Nigel Aw.

Tiada ulasan: