Jumaat, 19 September 2014

Lelaki mengamuk depan hotel di Alor Setar

MALAYSIAKINI


 


Seorang lelaki ditahan kerana mengamuk menggunakan pisau dan besi di hadapan sebuah hotel di Jalan Pintu Sepuluh di Alor Setar hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan berkata suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan di hadapan hotel tersebut tengah hari tadi.

Beliau berkata pihak polis pada mulanya menerima maklumat mengenai kejadian amuk di hadapan kedai makan di Mergong Indah.

Namun suspek kemudiannya dikesan di hadapan sebuah hotel, tetapi kemudian melarikan diri dengan memandu kereta secara agresif di sekitar Jalan Putra, Jalan Gangsa dan Jalan Suka Menanti," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata pihak polis kemudiannya menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa dia isteri kepada suspek dan menyatakan suaminya itu kurang siuman.

Adzaman berkata suspek kemudiannya didapati memberhentikan keretanya di hadapan hotel yang sama dan bertindak menyerang polis dengan batang besi dan pisau apabila diminta menyerah diri.

Suspek kemudiannya dihantar hospital psikiatri untuk diperiksa. - Bernama

Tiada ulasan: