Khamis, 18 September 2014

'Keluar untuk solat Asar, bukan protes'

MALAYSIAKINI


 


Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyangkal dakwaan wujudnya protes terhadap Timbalan Presiden Mohamad Sabu apabila sebilangan anggota perwakilan Pemuda meninggalkan dewan semasa Mohamad berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS di Kota Tinggi, semalam.

Beliau berkata mereka meninggalkan dewan kerana hendak menunaikan sembahyang fardu Asar yang merupakan perkara biasa setiap kali muktamar berlangsung.

"Sebahagian mereka (perwakilan) adalah musafir. Mereka mungkin belum menunaikan solat fardu Zuhur kerana menunggu Asar untuk melakukan solat jamak.

"Saya ingat itu bukan protes...tidak betul... setiap tahun akan dibenarkan keluar dewan secara bergilir- gilir (untuk menunaikan sembahyang)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS ke-54 di Pulai Springs Resort, di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan sebilangan anggota perwakilan Pemuda PAS yang meninggalkan dewan sejurus Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu memulakan ucapan perasmiannya di Dewan Choon Moi dan tindakan itu didakwa sebagai tanda protes terhadap Mohamad.

Mengenai perwakilan yang memakai jaket hitam bertulis, 'Kami bersama Presiden dan Majlis Syura', beliau berkata tindakan itu merupakan perkara biasa sebagai tanda sokongan kepada kepimpinan parti.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, menyeru pengundi di luar Kelantan supaya pulang menunaikan tanggungjawab walaupun hari pengundian 25 Sept ini adalah hari bekerja.

"Hari mengundi adalah hari Khamis iaitu hari bekerja di negeri lain dan ia sangat berdekatan dengan tarikh hari raya Aidiladha. Keadaan ini meletakkan pengundi dalam keadaan payah membuat pilihan kerana mereka terpaksa pulang dua kali ke Pengkalan Kubor iaitu untuk mengundi dan menyambut perayaan.

"Walau bagaimanapun, kita seru lebih 1,700 pengundi yang berada di luar kawasan DUN Pengkalan Kubor ini untuk pulang (mengundi)," katanya.

PRK DUN Pengkalan Kubor  membabitkan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail; Wan Rosdi Wan Ibrahim daripada PAS dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada BN Datuk Noor Zahidi Omar akibat kanser hati pada 20 Ogos lalu.

Terdahulu, dalam ucapannya, Tuan Ibrahim mengingatkan anggota parti supaya tidak mempercayai fitnah yang dibawa musuh ke dalam parti bagi memecah-belahkan parti itu.

Beliau turut meminta anggota PAS supaya membudayakan kerja secara jemaah dalam menjaga ukhuwah setiap anggota parti.- Bernama

Tiada ulasan: