Ahad, 21 September 2014

Buang yang keruh, kata TG Haron Din

HARAKAHDAILY



 


BATU PAHAT: Timbalan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Haron Din mahu segala perselisihan dalam parti ditamatkan seiring dengan selesainya Muktamar Tahunan PAS ke-60 petang ini.

Menurut beliau, seluruh ahli PAS perlu kembali memperkukuh ikatan ukhwah dan bersatu nenghadapi cabaran mendatang.

"Buang yang keruh ambik yang jernih. Bersatu kukuhkan kesatuan hadapi cabaran mendatang.

"Bermaaf-maafan, tolong menolong dan berlapang dada terima teguran, hulur kemaafan," kata beliau sewaktu membuat ucapan penangguhan hari ini.

Tambahnya, PAS akan sentiasa kukuh selagi ahli di segenap peringkat mematuhi arahan pimpinan.

Mengulas isu tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat, Tuan Guru Harun Din mahu PAS meletakkan sedikit 'reserve' dalam perkara itu dengan mengambil contoh pensyariatan perceraian dalam Islam.

Menurut beliau, walaupun talak tidak digalakkan dalam Islam, tetapi ianya dibolehkan.

Sekalipun suami enggan melafazkan talak, namun syariat membenarkan isteri menuntut fasakh jika suami melanggar syarat tertentu, katanya.

"PAS tak keluar dari Pakatan Rakyat atau PAS dibuang dari Pakatan Rakyat. Kena reserve perkara itu.

"Pimpinan PAS pertimbang semua pandangan," katanya sambil menegaskan keputusan PAS setakat ini akan terus kekal bersama Pakatan Rakyat seperti ditegaskan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan bahawa Majlis Syura Ulamak mempunyai kuasa membuat penilaian kelangsungan tahaluf siyasi dengan mengambil kira kesan baik dan buruk dari masa ke masa. - HARAKAH

Tiada ulasan: