Khamis, 28 Ogos 2014

Tempoh Giliran Haji Dikaji Semula - Abdul Azeez

RAKYATNEWS


alt



KELANA JAYA  - Tabung Haji (TH) akan mengkaji semula tempoh giliran menunggu untuk menunaikan haji bagi setiap pendaftaran yang setakat ini ditetapkan pada 60 tahun.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata perkara itu akan diteliti dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk faktor kesihatan dan juga umur pemohon.

"Faktor umur adalah yang paling utama kerana kami akan bagi peluang kepada individu berumur 65 tahun ke atas yang belum pernah menunaikan haji untuk pergi terlebih dahulu.

"Dari segi kesihatan pula, ia bersandarkan kepada ujian pemeriksaan kesihatan yang dijalankan, dan jika mereka lulus ujian itu, kami akan lepaskan mereka untuk mengerjakan haji," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan ketiga jemaah Haji Malaysia di Kompleks TH di sini.

Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat mengucapkan selamat jalan kepada 279 bakal jemaah haji yang dijangka tiba di Tanah Suci pada jam 10.50 malam ini.

Abdul Azeez berkata TH juga akan mengkaji semula prosedur pendaftaran bagi mereka yang pernah menunaikan haji memandangkan bilangan pendaftaran kini mencecah 1.5 juta pemohon.

"Memandangkan 60 tahun satu penantian yang sangat panjang, jadi kepada pemohon yang ingin menunaikan haji semula selepas lima tahun kami terpaksa halusi pemilihan mereka," katanya.

Katanya, sehingga kini TH menerima 7,000 rayuan daripada mereka yang tidak terpilih untuk mengerjakan haji, namun atas pengurangan kuota yang dikeluarkan Kerajaan Arab Saudi, rayuan itu hanya akan diteliti dan dipilih mengikut kekosongan yang ada.

"Tempoh waktu menunggu giliran akan berkurangan daripada tempoh asal yang diberitahu ketika mendaftar kerana ada juga di antara pemohon yang terpilih sudah meninggal dunia atau pun mengalami sakit yang berpanjangan," katanya.

Beliau berkata, untuk tahun seterusnya, pemilihan giliran menunaikan haji akan dijalankan secara tegas dan teliti dengan mengambil kira pelbagai faktor, supaya setiap pemohon berpeluang mengerjakan haji.

"Pada tahun ini, kuota haji hanya 22,320 jemaah berbanding 27,900 jemaah tahun lepas," katanya.

Tiada ulasan: