Selasa, 26 Ogos 2014

'Tak mungkin mahkamah benar siar kes Liwat II'

MALAYSIAKINI


 


Menteri Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata cadangan PKR agar perbicaraan kes Liwat II disiarkan secara langsung hanya satu agenda untuk kepentingan ketua umum parti tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata, Anwar sendiri tidak pernah menyarankan agar mana-mana perbicaraan disiarkan secara langsung semasa berada dalam Kabinet, katanya.

"Saya rasa waktu Anwar berada dalam kerajaan pun dia tak pernah menyarankan perkara ini dibuat.

"Dia ini nak buat (siaran langsung) hanya kerana diri dia. Bukan kerana membina suatu sistem yang lebih terbuka pada zaman dia.

“Pada zaman dia juga (sidang) Parlimen tak ada secara langsung. Pada zaman saya, sekurang-kurangnya perkara ini ada," katanya lagi kepada pemberita di Putrajaya.

Katanya lagi, mahkamah juga tidak mungkin akan membenarkan perbicaraan kes rayuan Liwat II yang dihadapi bekas timbalan perdana menteri itu disiarkan secara langsung.

Bagaimanapun beliau tiada masalah untuk menjalankan siaran langsung tersebut, sekiranya mahkamah bersetuju, katanya.

"Bagi saya tak jadi masalah. Tapi terpulang pada mahkamah. Saya tak fikir dalam perbicaraan, mahkamah membenarkan perbicaraan itu disiarkan secara langsung.

“Sebab saya rasa belum ada (siaran secara langsung perbicaraan)... Kalau mahkamah minta siar, tak ada masalah untuk RTM siar," katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai cadangan yang timbul di Kongres Nasional ke-10 PKR, hari Ahad lalu.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menuntut demikian agar "rakyat dapat menilai" sendiri tuduhan dan pembelaan kes tersebut.

Mahkamah Persekutuan sebelum menetapkan 28 dan 29 Oktober depan untuk mendengar kes Anwar untuk membebaskannya daripada pertuduhan liwat oleh Mahkamah Rayuan.

Tiada ulasan: