Selasa, 26 Ogos 2014

Saksi: Mejar Zaidi tak lakukan kesalahan

MALAYSIAKINI


 


Saksi utama dalam perbicaraan kes Mejar Zaidi Ahmad yang dituduh memberi kenyataan media tanpa izin pegawai atasannya, setuju bahawa Zaidi tidak melakukan kesalahan menurut undang-undang tentera yang dirujuk dalam kesnya.

Leftenan Kolonel Mohammad Rosli Yaakob yang bertindak sebagai yang dipertua lembaga siasatan kes berkenaan, setuju apabila ditanya oleh peguam Hanipa Maidin berkenaan perkara itu.

Beliau setuju bahawa hal berkaitan pilihan raya bukan hal-hal yang berkaitan ketenteraan seperti dirujuk dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera No 13 Tahun 1961, Discipline and Security – Communication of Information and Publication of Articles by Members of the Armed Forces - yang terkandung dalam pertuduhan terhadap Zaidi.

"Saya katakan tadi bahawa kesalahan yang dibincang dalam Bilangan 13 berkait rapat dengan Bilangan 12 dan tak boleh lari.

"Saya mengatakan bahawa kalau betul-betul baca masa siasatan, Kolonel akan dapati seorang tentera seperti Mejar Zaidi melakukan kesalahan apabila menerbitkan artikel dia sendiri yang berkaitan subjek ketenteraan.

"Itu yang timbulnya kesalahan. Setuju tak dengan saya?" tanya peguam Hanipa Maidin kepada Rosli.

"Setuju," jawab Rosli ringkas.

Namun, Rosli apabila ditanya pihak pendakwa menjelaskan bahawa Zaidi masih perlu mendapatkan izin dari pihak atasan tentera sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan media.

"Saya setuju (dengan peguam) isu pilihan raya isu negara dan tiada kaitan dengan ketenteraan tetapi dalam kes ini adalah permission (kebenaran) untuk buat sidang akhbar.

"Kebenaran mestilah dipohon dari pihak atasan," katanya menjawab soalan Mejar Ahmad Azam Soip.

Perkara 12 merujuk kepada keizinan yang perlu diperolehi dalam masa dua minggu sebelum seorang tentera menerbitkan atau menyiarkan kenyataan menerusi akhbar atau sebarang jurnal.

Saksi dakwa diperangkap peguam


Rosli turut meninggikan suara sewaktu diasak oleh Hanipa Maidin untuk menjawab soalan berkenaan Perintah 13.

Hanipa: Yang dikatakan menjadi satu kesalahan kalau dia (Zaidi) menerbitkan penerbitan berkaitan dengan subjek ketenteraan atau tugas dia, itu yang tak dibenarkan dalam Perintah 13.

Rosli: Tak setuju.

Hanipa: Tidak setuju kerana fahamkah... (percakapan dipotong oleh Rosli)

Rosli: (Meninggikan suara) Saya faham! Saya yang buat siasatan itu!

Tindakan itu menyebabkan pendakwa membantah soalan Hanipa namun bantahan ditolak oleh anggota panel mahkamah atas alasan peguam bela mempunyai hak untuk menyoal balas saksi.

Rosli yang kelihatan berang sebelum itu menuduh Hanipa memutar belitkan soalan untuk memerangkap beliau - namun ia dinafikan Hanipa.

"Saya tiada niat pusing (soalan) mungkin kamu terpusing sendiri.

"Minta maaf kalau kamu terpusing sendiri," kata Hanipa kepada Rosli.

Mejar Zaidi Ahmad, seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menghadapi tujuh tuduhan di bawah Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972.

Jika sabit kesalahan, Zaidi berdepan hukuman maksimum dua tahun penjara atau mana-mana hukuman lebih ringan termasuk dibuang kerja.

Pendakwaan dilakukan oleh Mejar Ahmad Sanusi Ali, Mejar Ahmad Azam Soip, dan Kapten Ross Anuar Aripin.

Kes itu didengar di hadapan Kolonel Saadon Hasnan yang bertindak sebagai yang dipertua mahkamah bersama lima ahli mahkamah terdiri daripada Leftenan Kolonel Zainurin Mohd Dom, Mejar Khuzairi Mohd Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib, Mejar S Nadzeer Sallehuddin dan Mejar Noor Azman Ahmad.

Zaidi pula diwakili barisan peguam Hanipa Maidin, Nasar Khan Mirbaz Khan dan Aminuddin Zulkipli.

Perbicaraan hari ini ditangguh oleh Kolonel Saadon kepada 2 September 2014 jam 9 pagi.

Tiada ulasan: