Khamis, 28 Ogos 2014

Rafizi mengaku tak bersalah aibkan ahli Umno

MALAYSIAKINI


 


Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan mengaibkan dan mendatangkan kemarahan kepada ahli Umno.

Ahli Parlimen Pandan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melalui satu kenyataan pada Februari lalu yang mengaitkan parti tersebut dengan kejadian membaling molotov cocktail pada satu gereja.

Beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Sekiranya disabitkan kesalahan, Rafizi berdepan hukuman penjara dua tahun, denda RM4,000 atau kedua-duanya sekali.

Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat membenarkan Rafizi dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut menetapkan tarikh 30 September depan bagi sebutan kes tersebut.

Rafizi diwakili peguam Eric Paulsen, Dheeraj Bhar dan N Surendran manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azari Harun.

Rafizi ketika ditemui pemberita selepas beliau membayar ikat jamin seterusnya mendakwa, tuduhan ke atasnya itu sememangnya dirancang untuk mengenakan ahli politik Pakatan Rakyat.

"Saya lihat peguam negara kini lebih kreatif dengan menggunakan undang-undang yang kita tak pernah dengar untuk menjatuhkan ahli politik pembangkang atau untuk menghalang orang awam daripada memberikan pendapat.

Tuduhan itu juga melucukan kerana PKR sememangnya berusaha untuk menimbulkan kemarahan orang Umno, katanya.

"Saya hanya boleh ketawa (dengan tuduhan ini). Saya dituduh kerana membangkitkan kemarahan orang Umno.

"Itu memang apa yang kita buat. Memang kerja kita untuk timbulkan kemarahan orang Umno.

"Selepas ini mudahlah sesiapa yang tak setuju dengan mana-mana kenyataan boleh buat laporan polis," katanya lagi.

Tiada ulasan: