Selasa, 26 Ogos 2014

Pulau pinang tubuh panel penilaian seni kreatif untuk George Town

penang_street_art1

Roketkini.com


GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang membentuk jawatankuasa khas kesenian bagi mengurus dan menilai kerja seni kreatif, termasuk lukisan mural di dinding sebagai langkah memenuhi Nilai Terunggul Sejagat (OUV) yang digariskan, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Jawatankuasa khas tersebut yang dinamakan sebagai ‘Panel Penilaian Seni Awam’ dan dianggotai pakar dengan latar belakang kesenian akan bertanggungjawab untuk menilai kesemua lukisan mural serta seni dinding di sekitar bandaraya George Town.

“Semenjak 2012, lukisan mural telah membantu meningkatkan nilai George Town sebagai tapak warisan dunia, dalam masa sama mengalu-alukan pelancong menjiwai gaya hidup bandaraya ini.

“Namun, terdapat beberapa mural di tapak warisan dilukis tanpa kelulusan tanpa mengekalkan tiga nilai penting OUV,” kata Guan eng dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tiga nilai OUV yang digariskan ialah bahawa George Town mewakili contoh bagi bandar-bandar dagangan yang mempunyai pelbagai budaya di Timur dan Asia Tenggara, dijalin oleh sejarah dan budaya perdagangan di antara orang Melayu, Cina, India dan Eropah.

Nilai kedua menurut garis panduan OUV bahawa George Town ialah satu bukti hidup warisan kepelbagaian budaya dan tradisi Asia di mana agama dan budaya besar bertemu dan bandaraya mencerminkan pertemuan unsur budaya dari tempat lain di Kepulauan Melayu, India, China dan Eropah sehingga mewujudkan senibina yang unik.

Menurut garis panduan OUV, kewujudan bersama bangunan penganut pelbagai agama yang berbeza adalah citra dan bukti kemajmukan keagamaan di Asia.

Menurut Guan Eng, pihaknya sebelum ini menerima aduan termasuk daripada pengamal media yang memberikan pandangan bahawa sesetengah lukisan pada dinding kedai di George Town tidak serasi dengan suasana Geoge Town sebagai status bandaraya warisan dunia UNESCO.

Sebelum ini pelbagai seni dinding berupa mural dan arca besi di Street Art Penang dihasilkan oleh pelbagai seniman terkenal dunia, antaranya pelukis terkenal Lithuania Ernest Zacharevic, Louis Gan (pelukis pekak dan bisu) dan kumpulan pelukis 101LostKittens.

“George Town adalah bandaraya antarabangsa. Maka, lukisan di sini pun mestilah bertaraf antarabangsa juga,” ujar Guan Eng. – Roketkini.com

Tiada ulasan: