Jumaat, 29 Ogos 2014

Pemuda PAS, AMK gading bahu di Pengkalan Kubor

SALMAH MAT HUSAIN 


KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan dan Angkatan Muda Keadilan Kota Bharu menyokong sesiapa sahaja yang bakal bertanding pada pilihian raya kecil (PRK) Pengkalan Kubor tidak lama lagi.

Ketua Pemuda PAS negeri, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya akan memberi sokongan kepada sesiapa sahaja yang bakal dicalonkan pada PRK itu

demi perpaduan Pakatan Rakyat.

“Kami menyedari musuh sebenar Pakatan Rakyat ialah Umno dan BN. Apa yang penting kita mahu merampas Dun berkenaan daripada BN,” katanya di sini.

PRK Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar akibat barah hati di China pada 20 Ogos lalu.

Pada pilihan raya umum lepas Noor Zahidi mengatasi calon PKR, Saharun Ibrahim dengan majoriti 1,736 undi.

Ahmad Fadhli juga berkata, berdasar tinjauan awal pemuda negeri ke Pengkalan Kubor didapati peluang cerah untuk merampas semula Dun berkenaan.

Ketua Cabang AMK Kota Bharu, Roslan Ismail pula berkata, pihaknya akan bekerja keras bagi menghadapi musuh sebenar Pakatan Rakyat iaitu Umno dan BN.

Menurut beliau AMK Kota Bharu bersama AMK negeri akan turun ke bawah bagi membantu calon yang akan bertanding.

“Kami bersedia untuk berganding bahu bersama untuk membantu calon Pakatan bagi merampas Dun terbabit,” ujarnya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: