Selasa, 26 Ogos 2014

PAS Bukan Hanya Untuk Demo, PRU - Iskandar

RAKYATNEWS


alt


SHAH ALAM  - Seolah-olah tidak mahu Pas dilihat sering tunduk kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, Pas negeri mula mempersoalkan perlunya kerjasama politik dalam pakatan pembangkang selama ini sekiranya tidak membawa faedah kepada Islam.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, kewujudan parti itu dalam pakatan pembangkang seperti hanya penting ketika berdemonstrasi dan pilihan raya umum (PRU).

Selepas jentera Pas digunakan sepenuhnya untuk tujuan berkenaan, tambah beliau, parti tersebut seperti tidak dipedulikan lagi.

"Tiada guna tahaluf jika Islam tidak untung, jangan masa demo dan PRU sahaja nak guna Pas, tetapi selepas itu Pas dibuang," katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam Muktamar Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor (DPPNS) di sini.

Ucapan beliau itu disiarkan dalam laman Facebook Pas Selangor.

Turut disiarkan adalah gambar Iskandar sedang berucap dalam majlis itu yang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini.

Sementara itu, Iskandar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar negeri ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut menjelaskan, kenyataannya itu bertujuan supaya peranan Pas dalam pakatan pembangkang diperluaskan merangkumi lebih banyak aspek.

"Saya menggesa ahli Pas sentiasa berusaha untuk memastikan Islam mendapat manfaat daripada persefahaman dan kerjasama daripada ketiga-tiga parti pakatan pembangkang," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Tiada ulasan: