Ahad, 27 Julai 2014

PKR diminta perjelas mekanisme pelantikan jawatan MB, KM di negeri Pakatan - Penganalisis

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: PKR perlu menjelaskan mekanisme pelantikan Menteri Besar atau Ketua Menteri secara lebih terperinci agar kedua-dua parti komponen di dalam Pakatan Rakyat itu boleh menerima sebarang keputusan bersabit isu menggantikan Menteri Besar Selangor.
 
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, PKR harus sedar Selangor bukan dipimpin secara tunggal oleh parti itu.
 
"Apa juga perjanjian itu, jika ada satu perjanjian bertulis (yang rasmi), itu lainlah. Tetapi jika tidak ada (perjanjian) termasuk persefahaman nak tukar MB...Mungkin persefahaman nak melantik MB ada, tetapi persefahaman nak ganti MB tidak ada.
 
"Mengikut undang-undang tubuh, MB mesti mendapat sokongan majoriti ahli Dewan. Soalnya apakah Khalid sudah tidak mendapat sokongan majoriti ahli Dewan?
 
"Kemudian perkenan Tuanku. Yang tersuratnya begitulah jika mengikut undang-undang," demikian menurutnya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
PKR hari ini mendesak PAS menghormati mekanisme pelantikan Menteri Besar dan Ketua Menteri yang disahkan oleh Pakatan Rakyat (PR).
 
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution menggesa PAS untuk menerima keputusan parti itu mencalonkan Datuk Seri Dr Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 
Kenyataan tersebut dibuat sehari selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan sokongannya terhadap Khalid untuk kekal bagi jawatan nombor satu di negeri itu dengan alasan beliau bebas dari sebarang skandal dan rasuah.
 
Rabu lalu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat akur terhadap hak PKR menentukan calon menteri besar.
 
Mengulas hal yang sama, Mustafa berpendapat tidak ada salahnya lontaran Hadi terhadap Khalid yang melihat isu itu dari segi kesejahteraan dan keutuhan kerjasama ketiga-tiga parti tersebut di Selangor.
 
Dalam masa yang sama beliau tidak menolak kemungkinan Khalid akan menyertai PAS sekiranya merasakan dirinya bersih daripada segala dakwaan kepimpinan partinya sendiri.
 
"Jika PAS dan PKR masing-masing bertegas dengan pendirian, sudah pasti apabila PKR gagal mendapat penyelesaian bersama PAS, sudah pasti berlaku keretakan PR di Selangor. Berkemungkinan Khalid menyertai PAS.
 
"Tidak mustahil. Jika Khalid merasakan tidak bersalah, beliau ada maruah dan mengapa beliau mesti akur kepada perkara dimana pihak lain di dalam parti ada tujuan tertentu. Khalid juga kita kena ingat, beliau ada sokongan," katanya lanjut.
 
Saifuddin turut berkata mekanisme yang diguna pakai pada mesyuarat Pakatan yang lalu adalah sama yang digunakan dalam pelantikan Menteri Besar dan Ketua Menteri kerajaan negeri pimpinan Pakatan di Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan sebelum ini.

Tiada ulasan: