Khamis, 31 Julai 2014

Noh Omar : Khalid cukup matang

Khalid dapat menentukan sendiri sama ada beliau akan terus memegang jawatan menteri besar atau mengundur diri tanpa campur tangan mana-mana pihak.

noh omar


KUALA LUMPUR : Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar melalui satu kenyataan semalam berkata bahawa BN Selangor tidak mahu terjebak dalam permainan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu penukaran menteri besar Selangor.

“Kami tidak mahu ikut terjebak di dalam konflik “rumah tangga” ini yang tidak membawa apa-apa manfaat dan tidak menguntungkan rakyat Selangor,” tegasnya.

“Konflik ini juga telah menjejaskan imej Pakatan Rakyat (PR) di mata umum. Rakyat boleh menilai sendiri dari pelbagai pergolakan yang melanda PR.”

“Di dalam politik, tidak ada istilah kawan tetap kawan atau musuh tetap musuh, semua boleh berubah tergantung kepada situasi politik semasa.”

Menurut beliau, Tan Sri Khalid Ibrahim cukup matang untuk menentukan sama ada beliau akan terus memegang jawatan menteri besar atau mengundur diri tanpa campur tangan mana-mana pihak.

“Walau apa pun, UMNO Selangor tetap sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal terjadi, termasuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor,” tegasnya.

“Fokus kami adalah kepada nasib rakyat Selangor.”

Tiada ulasan: