Ahad, 27 Julai 2014

Insiden “Mana surat?”: Pertembungan politik lama dan baru





Oleh Liew Chin Tong


RAKAN-RAKAN dari Pakatan Rakyat di seluruh negara memaklumkan kepada saya bahawa mereka ditanya secara bergurau ketika melawat bazaar Ramadan di kawasan masingmasing, “Mana surat?” Tanpa kami sedari, lawatan saya ke bazaar Ramadan Kluang telah menjadi medan pertembungan antara politik lama dengan politik baru. 

Insiden “mana surat” di bazaar Ramadan Kluang menunjukkan bahawa sebahagian besar dalam Umno masih terkongkong dalam kerangka minda lama, iaitu “Umno itu kerajaan, kerajaan itu Umno” – tanpa mengambil kira hakikat bahawa Umno hanyalah salah satu parti politik seperti semua parti politik yang lain.

Dalam kerangka politik lama, atas nama mempertahankan Melayu, “rent-seeking” (habuan tanpa perlu kerja) bukan sahaja berlaku di peringkat projek kroni secara besar-besaran, tetapi sewaan gerai bulan Ramadan juga sebahagian “rent” atau habuan yang enggan dilepaskan.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, kita mengalu-alukan pemimpin Umno seperti Ketua Pemuda Umno Kluang Dato’ Khairul Anwar Rahmat yang bersedia berusaha menuju ke arah “politik baru”.

Saya terpilih sebagai ahli parlimen sejak tahun 2008, sudah tentu ini bukan kali pertama saya terlibat dalam upacara dan program Ramadan. Tetapi apa yang berlaku pada tahun ini sememangnya paling “menarik” untuk saya. Bersama dengan Tan Hong Pin (Adun Mengkibol) dan Sheikh Omar Sheikh Ali, anak Kluang yang dahulunya bertugas sebagai pembantu di Sekretariat Pakatan Rakyat Pusat dan sekarangnya membantu saya di Pusat Komuniti Kluang, kami mengadakan lawatan bazaar Ramadan pertama pada Isnin, 30 Jun di bandar Kluang.

Sebelum PRU13, Kluang, dan secara keseluruhan Johor, terutamanya kawasan separa bandar, adalah negeri dan kawasan-kawasan “deposit tetap” BN tanpa saingan sengit dari pihak pembangkang.
Di kawasan separa bandar seperti Kluang, Umno dan partiparti komponen BN menganggap mereka “parti kerajaan” dan menguruskan pentadbiran seolah-olah pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan lain adalah sebahagian daripada parti mereka.

Sehari sebelum Deepavali pada tahun 2013, saya telah dihalang masuk ke bazaar Deepavali oleh pemimpin MIC Kluang atas sebab yang sama: bazaar tersebut diuruskan oleh mereka dan saya tidak dibenarkan masuk walaupun saya tidak datang dengan sebarang bahan publisiti politik.

Kehadiran saya walaupun hanya untuk bersalam dengan penjaja dan pengunjung bazaar tersebut cukup “gerun” buat parti MIC di Kluang, kerana mereka tidak pernah menghadapi parti lawan sebagai kawan di luar gelanggang politik. Dalam pengalaman mereka, MIC tidak boleh dicabar dan pembangkang adalah musuh yang mesti dimusnahkan. Hatta senyuman dan salam pemimpin politik Pakatan Rakyat tidak boleh disampaikan kepada orang ramai walaupun di tempat awam. Tidak hairan apabila saya dan rakan-rakan dihalang dari bazaar Ramadan Kluang kerana kami “sudah biasa!”

Psikologi ketakutan ahli Umno/MIC bahawa ahli Pakatan Rakyat akan mendapat sokongan dari kalangan pengundi Melayu dengan kunjungan semacam ini adalah tidak matang dalam pemahaman politik mereka.

Padahal pengundi kita lebih “canggih” dan matang pemikiran mereka daripada tanggapan itu.
Mereka tidak akan mengundi DAP hanya kerana ahli politik DAP melawat bazaar Ramadan.

Saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada Ketua Pemuda Umno Kluang Dato’ Khairul Anwar Rahmat yang mengecam insiden tersebut dan menjemput YDP PAS Kawasan Kluang Khairul Faizi Ahmad Kamil, Hong Pin dan rakan-rakan lain untuk mengedar buah kumar dan bubur lambuk bersama pada Ahad 6 Julai. Dalam politik baru, parti lawan bukan musuh tetapi sahabat seperjuangan untuk Malaysia yang lebih baik, walaupun berbeza pandangan.

Lantaran perbezaan pandangan, apa yang diperlukan adalah dialog dan pembahasan, bukan aksi halang-menghalang.

Saya mengalu-alukan tindakan Khairul Anwar dan harap lebih ramai ahli politik dalam Umno- BN berpolitik secara matang dan sebagai demokrat yang berebutrebut untuk membawa dasardasar baik kepada rakyat dan bukan memonopoli kuasa (dan jalan awam) untuk parti sendiri.

Selepas lawatan bersama Khairul Anwar dan selepas kami berpisah, ahli pemuda Umno si “mana surat” itu muncul sekali lagi dan meludah di hadapan saya.

Saya juga dimaklumkan bahawa Khairul Anwar dikecam dalam partinya. Dua hari selepas lawatan bersama, pada 8 Julai, cat merah dilontar ke kereta Sheikh Omar.

Rasanya politik lama tidak bersedia berundur dari pentas walaupun majoriti rakyat Malaysia mendukung politik baru. Salah satu sebab politik lama tidak berundur kerana habuan dibawa oleh amalan politik mereka.

Di Johor dan di seluruh negara, amalan “rent-seeking” bukan sahaja berlaku di peringkat paling tinggi.

Keuntungan penjaja gerai bazaar Ramadan pun diintai ahli politik Umno di peringkat bawahan.

Di Kluang, bazaar Ramadan yang terbesar diuruskan oleh “Yayasan Perbandaran Kluang” yang dipengerusikan oleh Exco Kanan Kerajaan Johor Jais Sarday. Setiap majlis PBT di Johor diarah untuk menubuhkan satu “yayasan” yang diuruskan oleh ahli politik Umno dan setiap majlis PBT diarah untuk menyumbang 1% pendapatan tahunan kepada “yayasan” tersebut.

Sekiranya Majlis Perbandaran Kluang mendapat pendapatan dari cukai pintu dan pendapatan lain sebanyak RM40 juta setahun, maka yayasan dipegang oleh ahli politik Umno itu akan mendapat dana sebanyak RM400 ribu (selain daripada pendapatan dari sewaan gerai bazaar Ramadan).

Amalan semacam ini sebenarnya menghalalkan dana politik untuk pemimpin Umno dan juga menindas penjaja gerai yang berusaha untuk mendapat keuntungan yang halal dan agak sederhana. Politik lama kronisme dan “rent-seeking” perlu diakhiri bukan sahaja di peringkat atas tetapi juga peringkat perbandaran.

» Liew Chin Tong ialah ahli parlimen Kluang, merangkap Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP. Beliau oleh dihubungi dengan supportlct@ liewchintong.com

Tiada ulasan: