Khamis, 31 Julai 2014

ESSCom Tubuh 6 Pasukan Pemantau

MSTAR ONLINE
 
 
Datuk Abdul Rashid Harun (kanan) ketika melakukan pemantauan di perairan Sabah.
 
 
LAHAD DATU: Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menubuhkan enam pasukan pemantau bagi menilai tahap kesiapsiagaan anggota di lokasi penugasan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), terutama sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Komander ESSCom Datuk Abdul Rashid Harun berkata pasukan pemantau yang terdiri daripada gabungan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) itu memulakan tugas mereka Sabtu lepas.

Beliau berkata pasukan itu diamanahkan untuk melawat semua penugasan di ESSZone termasuk pos kawalan di pulau-pulau dan darat serta pasukan pemintas.

"Alhamdulillah setakat ini semangat semua anggota yang bertugas di ESSZone berada di tahap tinggi walaupun terpaksa bertugas dan berjauhan daripada keluarga sepanjang musim perayaan ini.

"Doakan semoga anggota keselamatan kita berada dalam keadaan selamat dan dipermudahkan dalam segala urusan demi kedaulatan, keselamatan dan keamanan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Abdul Rashid berkata jumlah pemantau itu mungkin akan dikurangkan selepas Hari Raya Aidilftri kerana "mereka ini semua dari ESSCom yang perlu juga membuat tugasan lain".

ESSZone meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Semporna.

Tiada ulasan: