Ahad, 27 Julai 2014

38 keranda terakhir tiba di Eindhoven

MOHD RAZMAN ABDULLAH


EINDHOVEN: Tiga puluh lapan keranda terakhir mengandungi mayat mangsa pesawat malang Malaysia Airlines MH17 tiba di pangkalan Udara Diraja Belanda Eindhoven, di sini dari Kharkiv, Ukraine pada Sabtu.
  
Setakat ini, sejumlah 227 keranda telah diserahkan kepada pihak berkuasa Belanda yang mengetuai pasukan penyiasatan antarabangsa.
  
Keranda itu dibawa oleh pesawat tentera udara Belanda dan Australia yang mendarat satu selepas satu pada pukul 3.45 petang waktu tempatan di pangkalan udara berkenaan.
  
Keluarga mangsa yang menaiki penerbangan MH17 juga berada di pangkalan udara dan mereka bertafakur sebaik sahaja kedua-dua pesawat berhenti di landasan.
  
Satu demi satu keranda itu kemudian dipindahkan ke kereta jenazah untuk dihantar ke pangkalan tentera Belanda di Hilversum untuk penyiasatan forensik dan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI).
  
Ketua Pasukan Penyiasat Khas Malaysia, Khairil Hilmi Mokhtar, ketika dihubungi berkata dengan keranda terakhir diterbangkan, operasi bagi menyaring dan melabel mayat-mayat di Kharkiv telah selesai.
  
Pesawat Malaysia Airlines MH17 sedang dalam penerbangan dari  Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, di timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai.
  
Pesawat Boeing 777-200ER itu yang membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal - dipercayai telah ditembak jatuh tetapi setakat ini tidak ada pihak yang mendakwa bertanggungjawab atas tindakan  kejam itu. - Bernama

Tiada ulasan: