Lebuh Raya Utara-Selatan mulai sesak selepas Plaza Tol Jalan Duta arah utara apabila warga kota mula pulang ke kampung halaman. – Foto Bernama Lebuh Raya Utara-Selatan mulai sesak selepas Plaza Tol Jalan Duta arah utara apabila warga kota mula pulang ke kampung halaman. – Foto Bernama


SHAH ALAM - [VIDEO] "Saya bekerja bersama syarikat konsesi Lebuh Raya Utara Selatan, Plus Malaysia Berhad (Plus) selama 15 tahun dan sejak itu setiap kali Aidilfitri saya beraya di kaunter tol,” kata Nor Azita Tawarith Effendi, 35, ketika bercerita tentang pengalaman kerjanya.

Nor Azita berkata, pelbagai kenangan pahit manis yang dia lalui sepanjang perkhidmatannya, lebih-lebih lagi ketika berkhidmat di kaunter tol di hari raya.

“Perasaan saya sedih sangat...ya lah terpaksa beraya di kaunter tol, tetapi hendak buat macam mana ini tugas saya.

“Kalau hari raya, lepas kerja baru boleh telefon keluarga, sebab susah hendak bercakap ketika bekerja.

“Waktu itulah saya lepaskan kerinduan saya pada keluarga, ucap selamat hari raya kepada ibu dan ayah serta seluruh ahli keluarga,” katanya.

Berbicara lanjut Nor Azita berkata, kesedihan tidak dapat beraya di kampung dek kerana bertugas di pagi raya sedikit terubat tatkala pengguna tol sudi ‘beraya’ bersamanya.

“Alhamdulillah...ketika mereka (pengguna tol) bayar duit tol, ada yang hulur lemang, ketupat dan kuih raya.

“Mereka berbual dengan saya, mereka tanya tak balik raya ke adik, hati saya sayu sahaja..tetapi itulah..sapaan mereka ini membuatkan saya sedikit ceria,” katanya.

Dalam pada itu Nor Azita berkata, dia juga pernah mendapat duit raya daripada pengguna tol ketika bertugas.

“Kita ingat setengah pengguna lalu sahaja..tetapi tahun sudah saya telah dapat duit raya sebanyak 50 ringgit, terkejut jugaklah,” katanya.

Sementara itu menurut Haslindawati Kudus, 39, beliau turut berkongsi perasaan yang sama dengan rakan setugasnya itu.

Haslindawati Kudus yang berkhidmat selama 20 tahun bersama Plus berkata, dirinya sudah acap kali bertugas tatkala Aidilfitri.

“Macam biasalah perasaan sedih itu tidak dapat lari, tambahan pula saya sudah mempunyai tiga orang anak, lagilah sedih.

“Tetapi mereka fahamlah,” katanya.

Dalam pada itu, Haslindawati berkata bagi menghilangkan perasaan sedihnya ketika bertugas di hari raya beliau bersama rakan-rakan yang lain akan membuat jamuan raya.

“Kami buat makan-makan, hilanglah sikit  perasaan hiba itu,” katanya.