Ahad, 29 Jun 2014

Ulama tetap tunjang kepada PAS - Dr Khairuddin

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Ulama PAS menafikan sayap utama parti Islam itu tidak agresif sehingga memperlihatkan ia 'tenggelam' berbanding dengan sayap-sayap lain.
 
Sebaliknya Ketua Penerangan Dewan Ulama Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan sayap itu tetap memainkan peranan utama dengan mempunyai anggota di setiap dewan.
 
"Ya, tetap...sebab PAS ini ada dua perkara iaitu politik dan juga dakwah. Dakwah tunjangnya ialah ulama, politik oleh kerana ini adalah politik Islam tunjangnya ialah ulama.
 
"Sama ada mengawal, duduk di belakang atau di hadapan yang penting tetap memberi peranan besar dalam parti supaya mengawal agenda parti dan juga dasar-dasar parti," katanya dalam temubual ekslusif bersama Antarapos baru-baru ini.
 
Justeru jelas beliau tidak timbul bahawa Dewan Ulama PAS tidak bergerak seiring dengan sayap lain iaitu Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.
 
"Dewan Ulama mempunyai ruang yang sangat besar sebenarnya sebab ulama berada di semua posisi, dalam Dewan Pemuda ada ahli ulama, dalam Dewan Muslimat pun ada kalangan alimat dan dalam AJK Pusat ada ulama.
 
"Bererti ulama kedudukanya lebih global, berada di mana-mana...ertinya suara mereka sampai samaada menerusi medium Dewan Ulama sendiri atau menerusi mesyuarat PAS Pusat kerana kita ada wakil di sana yang hadir yang menjadi AJK PAS Pusat.
 
"Contohnya kita ada Tantawi (Nasrudin Hassan)sebagai AJK PAS Pusat dan AJK Ulama Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz juga AJK PAS Pusat, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh selaku AJK PAS Pusat dan kita juga ada suara di peringkat dewan yang mana mereka sebahagiannya ustaz-ustaz yang bernaung di peringkat negeri masing-masing," katanya.
 
Ulama PAS selesa bergerak di belakang tabir
 
Selain mengisi peranan dalam parti ujar Ahli Parlimen Kuala Nerus ini, golongan ulama dalam PAS turut berperanan penting dalam program berbentuk keagamaan.
 
"Jadi ertinya suara ulama disampaikan dengan pelbagai wajah, itu suara di samping kita terlibat dengan program tarbiyah.
 
"Kalau ceramah agama dan kuliah tentulah kita, tasbih haraki tentulah kita...siapa lagi yang boleh mengisi, usrah siapa yang naqib tentulah kita.
 
"Jadi medium sebenarnya tersangat besar cuma sejauh mana dilihat ke depan itu persepsi, persepsi kerana melihat dewan hanya dewan sedangkan ahli dewan berada di mana-mana," katanya.
 
Tambah Mohd Khairuddin, mungkin Dewan Ulama PAS nampak tidak berada di hadapan kerana sayap itu lebih selesa bergerak di sebalik tabir dengan menggerakkan gerak kerja parti.
 
"Cuma kenyataan rasmi menerusi sayalah sebagai ketua penerangan, kalau dihihglight pandangan kita orang akan tahu...kalau tak highligh orang tak tahulah," katanya.
 
Menurut beliau, Dewan Ulama PAS bertanggungjawab untuk menjaga dasar serta memberi nasihat kepada kepimpinan parti sekiranya perlu.
 
"Pertama sekali Dewan Ulama ini dewan yang kanan, tugasnya untuk menjaga parti, dasar parti serta memberi nasihat kepada kepimpinan parti.
 
"Sebab itulah kita yang paling concern ialah memberi pandangan kepada masyarakat sama ada kepada ahli parti atau pun umat Islam," katanya.
 
Kata Mohd Khariddin lagi, sayap itu sentiasa bersuara dalam pelbagai isu terutamanya berkaitan dengan agama Islam. 
 
"Kita menerusi saya punya lajnah iaitu lajnah penerangan selalu bawa pelbagai isu dalam masyarakat dan isu itu selalunya kita paparkan di page Dewan Ulama PAS.
 
"Jadi kalau nak tahu apa isunya boleh lihat isu-isu umat yang kita bawa dalam Dewan Ulama PAS Pusat," katanya.

Tiada ulasan: