Isnin, 30 Jun 2014

Selangor lulus RM27 juta naik taraf masjid negeri

Oleh: NORHAYATI UMOR


SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersetuju memberikan peruntukan awal RM27 juta bagi kerja menaiktaraf kawasan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Katanya, peruntukan terbabit merangkumi pembinaan menara masjid, kawasan sekitar dan pembaikan struktur bangunan serta ruang dalaman.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri sangat berterima kasih kepada bekas Imam Besar masjid ini iaitu Allahyarham Ahmad Mustafa Sidin yang sangat aktif mengimarahkan masjid dengan pelbagai program yang diadakan.

masjid“Oleh itu, kita mahu masyarakat selesa dengan keadaan masjid dan menganggap seperti berada di rumah bagi meneruskan kesinambungan itu.

“Kerajaan Negeri memberi kepercayaan penuh. Jika sebelum ini, Allahyarham banyak menghabiskan masa di masjid, jadi kita mahu semua orang selesa,” katanya dalam majlis mengedar bubur lambuk, di sini, semalam.

Abdul Khalid berkata, pendekatan itu diambil bagi mengingati jasa dan usaha pemimpin muda yang banyak menyumbang tenaga menguruskan masjid.

Selain itu, beliau turut memaklumkan akan menyelesaikan masalah kira-kira 40 peniaga bazar di kawasan masjid itu yang tidak dibenarkan berniaga atas sebab tertentu.

DSC_5560“Saya akan berjumpa dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi membincangkan perkara itu. Saya juga akan meminta beliau mencari tempat berniaga alternatif kepada peniaga terbabit,” katanya.

Pada masa sama, 2,400 bungkus bubur lambuk dan kurma diagihkan kepada orang ramai secara percuma bagi hari pertama menyambut Ramadan.

Pada tahun ini, 1,200 bungkus bubur lambuk akan diedarkan setiap hari kepada orang ramai secara percuma bermula 1 hingga 27 Ramadan yang diagihkan selepas waktu Asar setiap hari kepada orang ramai.-NFN

Tiada ulasan: