Jumaat, 27 Jun 2014

RUU Harmoni bukan tongkat sakti

MALAYSIAKINI


 


Pada bulan Oktober 2013, saya menerima panggilan menyatakan bahawa saya telah dijemput untuk menyertai dalam sebuah badan yang dinamakan sebagai Majlis Konsultasi Perpaduan Negara.

Tawaran dibuat dalam keadaan saya sendiri tidak mempunyai maklumat apakah tujuan dan matlamat majlis ini atau singkatannya MKPN dari sudut kuasa dan skopnya. Apa yang saya tahu, skop kerja utamanya ialah untuk perpaduan nasional.

Saya masih ingat, saya menerima panggilan daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri itu semasa Muktamar PAS sedang berlangsung. Mereka meminta keputusan segera sebab Perdana Menteri akan memberi tauliah kepada kami ahli majlis dalam masa seminggu lagi.

Saya berbisik pada presiden PAS di atas pentas muktamar yang berlangsung di Shah Alam tentang tawaran ini sambil menjelaskan sedikit maklumat tentangnya.

Beliau bersetuju dan mengharapkan kehadiran saya dapat menyumbang kepada sikap PAS terhadap perpaduan nasional. Dengan persetujuan itu, saya segera memaklumkan bahawa saya akan menerima tawaran itu.

Selaku pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional untuk parti saya sejak tahun 2005, saya banyak terlibat mengoperasikan usaha perpaduan nasional dan menjelaskan sikap parti saya kepada isu-isu perpaduan.

Tugasan utama saya ialah menjadikan PAS sebagai parti pelbagai kaum dari segi strukturnya dan luaran pula menggarap isu yang menyinggung perpaduan dari sudut isu-isu kritikal dalam hubungan antara kaum dan agama di negara yang majmuk ini.

Ia membawa saya kepada pertemuan dengan pelbagai NGO dan pihak berkepentingan dalam isu seperti penggunaan kalimah ‘Allah’ dan ketegangan kaum.

Saya merakamkan pemahaman saya kepada isu perpaduan nasional dalam beberapa buku saya seperti Aren't we all Malaysian? dan Engaging Christianity: A Travelogue of Peace. Tulisan-tulisan saya yang lain pula banyak berselerak dalam beberapa portal berita.

Negara bangsa

Kerja saya membawa saya kepada tokoh-tokoh agama yang pelbagai dan bertemu dengan mereka serta menjelaskan kepada mereka beberapa perkara, antaranya bersedia berbincang secara terbuka dalam isu yang dianggap sensitif, meletakkan negara dan kepentingan membina perpaduan nasional dan paling utama ialah meletakkan asas untuk generasi akan datang mewarisi negara ini dalam keadaan terbaik.

Secara ringkasnya saya menekankan perlunya berfikiran negara-bangsa (nation building) dalam melihat segala isu yang mencabar kewujudan negara bangsa Malaysia.

Saya berkeyakinan bahawa negara ini tidak memerlukan kelompok ekstrim dalam menentukan masa depan negara.

Saya bersetuju dengan sahabat saya, Datuk Saifuddin Abdullah bahawa ia bukan pertembungan parti-parti politik semata-mata akan tetapi persaingan antara kelompok ekstrim dan sederhana dalam menentukan posisi masing-masing dalam pelbagai isu kritikal.

Setiap kelompok pasti akan mempunyai jalur ekstrim kanan atau kiri dalam apa yang diistilahkan sebagai kelompok radikal dan konservatif.

Isu yang berlaku hanya merupakan peluang untuk menonjolkan identiti jalur pemikiran masing-masing dan lebih buruk lagi ialah jika penonjolan sikap ini adalah untuk mengeksploitasi suasana politik lalu meranapkan harapan generasi untuk menerima bahtera merdeka dalam kedamaian.

Menentang ekstrimisme

Negara ini memerlukan pendekatan sederhana untuk maju ke hadapan. Kesederhanaan adalah tabiat semula jadi yang mengimbangi kehidupan manusia dalam semua aktivitinya termasuk dalam beribadat.

Usaha mendamaikan ketegangan agama dan kaum di Malaysia sebenarnya adalah usaha meletakkan keseimbangan pada tempatnya kerana setiap kejadian Allah SWT adalah pada titik perseimbangannya termasuklah hubungan antara agama dan kaum.

Saya tidak mencipta perjuangan yang baru di Malaysia, saya cuma menegaskan asas yang sudah diterima beribu tahun yang lalu.

Sebagaimana generasi terawal berhadapan dengan berbagai kesukaran membawa risalah kesederhanaan, cabaran saya tidaklah terkecuali dan saya menerimanya sebagai motivasi untuk meneruskan jalan kedamaian ini.

Tugasan di MPKN

MPKN mula ‘memperkenalkan dirinya’ dalam isu rampasan Bible bahasa Melayu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

MPKN menyatakan sikapnya bahawa perampasan ini walaupun dengan autoriti atas alasan kalimah ‘Allah’ yang dipakai tetapi ia mesti dilakukan dengan hikmah dan bijaksana dan bukan secara ‘rampasan’.

Kenyataan media sulung oleh MPKN ini setelah mesyuarat sidang penuh pertama diadakan menarik perhatian pelbagai pihak termasuk kelompok yang kurang mesra dengan kami.

Kenyataan itu dituduh sebagai pengaruh kelompok liberal dalam MPKN, namun pada waktu yang sama MPKN mula mendapat kepercayaan orang ramai bagi meletakkan harapan menyelesaikan isu-isu yang menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Dalam rangka menyediakan perancangan besar perpaduan nasional yang menjadi tumpuan utama kami, beberapa jawatankuasa diwujudkan untuk setiap kami berperanan dalam bidang masing-masing antaranya melibatkan pembangunan inklusif, belia, integrasi nasional, silang budaya dan perundangan.

Saya diberi mandat untuk mempengerusikan Jawatankuasa Kerja Perundangan dan Polisi bersama dengan Lim Chee Wee sebagai timbalan saya.

Anggota majlis lain boleh terlibat secara sukarela dalam mana-mana jawatankuasa dan saya mendesak Saifuddin sebagai anggota wajib dalam jawatankuasa ini bagi membantu saya dan Lim.

Dengan mandat ini kami mengadakan mesyuarat pertama kami di bangunan Parlimen kerana pada waktu itu persidangan parlimen sedang berlangsung.

Fokus jawatankuasa

Tiada terma rujukan secara khusus tetapi dengan mengambil nama jawatankuasa ini kami menetapkan bahawa fokus kami ialah aspek perundangan dan polisi.

Perundangan ialah dengan melihat apakah rang undang-undang atau akta yang boleh memperkukuhkan perpaduan manakala polisi, kami lebih menumpukan kepada galakan dan insentif menjurus kepada pengukuhan dasar perpaduan yang sedia ada.

Mesyuarat seterusnya, kami mendapat rentak sedikit setelah mendapat maklum balas daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional bahawa jawatankuasa kami ini perlu mendatangkan satu draf awal tentang Akta Keharmonian bagi menggantikan Akta Hasutan yang akan dihapuskan.

Mesyuarat bersetuju supaya Lim yang berpengalaman dalam bidang undang-undang menyediakan draf awal bersama pasukannya.

Draf awal itu membolehkan jawatankuasa kami meneliti dan memulakan perbincangan awal bagi menghasilkan draf untuk tatapan awam. Mesyuarat selanjutnya lebih tertumpu kepada perincian dan penambahbaikkan draf awal tersebut.

Penglibatan awam

Saya menegaskan bahawa sebagaimana isi kandungan draf awal perundangan perpaduan itu penting, proses penglibatan awam juga sama pentingnya. Kami mendapat satu konsensus bahawa jika rang undang-undang (RUU) ini hendak dibawa, ia hendaklah menjadi RUU pertama yang mendapat mandat majoriti rakyat, kami mahu namakan RUU ini sebagai RUU rakyat (people's bill).

Alasannya jelas, oleh kerana RUU ini akan melibatkan kepentingan semua pihak dan bagi memelihara perpaduan nasional maka mereka mesti merasakan bahawa mereka adalah komponen terpenting.
Ia menjadi satu piawaian ke hadapan di mana selama ini tiada konsultasi awam berlaku dalam membawa sebarang RUU baru ke Parlimen.

Saya mahu politik baru yang kami perjuangkan ada nilai tambah lewat proses konsultasi. Sememangnya itulah yang berlaku, setelah draf awal dianggap agak bersedia untuk dikemukakan, bermulalah proses pendengaran awam yang selama ini tidak pernah dilakukan.
Langkah awal ialah pengumuman draf awal dalam lawan sesawang NUCC untuk akses awam. Kedua ialah menjemput pihak berminat untuk kami bentangkan dan ketiga melibatkan media untuk menguar-uarkan idea RUU ini.

Saifudin khususnya telah menulis dalam kolumnya di Sinar Harian, saya dan Lim sibuk mengadakan kenyataan media dan hingga kini kami telah berjaya mengadakan pertemuan makan tengah hari bersama media bagi memperkenalkan ide RUU ini. Kami juga bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam mendiskusikan draf ini.

Respons

Kelompok yang respons terdiri daripada yang berhati-hati tetapi optimis dan ada juga yang bersikap pesimistik dan tidak kurang juga yang menolak kesemuanya dengan alasan kita tak perlu lagi undang-undang dalam menguruskan isu hubungan antara agama dan kaum di negara ini.

Kami mengambil kira semua permasalahan ini dengan sikap terbuka dan sepatutnya ia begitu kerana namanya adalah draf dan ia bukannya muktamad.

Walaupun begitu saya menegaskan dalam pelbagai wawancara media bahawa komentar dan pandangan tidaklah untuk mengundurkan kita ke belakang apatah lagi menggagalkan usaha memperkenalkan undang-undang baru ini.

Dengan kesedaran ini, kami bergerak dengan penuh yakin walaupun tiada contoh awalan yang menjadi petunjuk kepada kami. Dengan itu sebuah draf RUU yang bernama Akta Keharmonian Nasional dan Rekonsiliasi diperkenalkan kepada rakyat Malaysia.

Idea RUU Keharmonian Nasional

Draf awal berkembang kepada bentuknya hari ini dengan mengambil kira beberapa konsep.

Konsep pertama ialah undang-undang yang melibatkan kebencian kaum dan agama yang terbit daripada ucapan yang boleh mencetuskan keganasan. Ia dikenali sebagai idea ‘hate speech’ yang dianggap sebagai satu jenayah.

Kedua ialah konsep antidiskriminasi bagi mendidik rakyat erti kesaksamaan di hadapan undang-undang dan larangan membezakan warganegara ini atas kaum, agama, keturunan, tempat lahir dan jantina serta ketidakupayaan fizikal.

Ketiga dan terakhir ialah mewujudkan remedi awam untuk setiap individu yang merasakan dirinya didiskriminasikan atas alasan-alasan di atas melalui sebuah Suruhanjaya Keharmonian Nasional.

Itulah tiga konsep tentang tujuan utama terbentuknya draf undang-undang ini.

Elemen penting dalam RUU ini ialah sifat punitif kepada sesuatu yang boleh mencetuskan permusuhan agama dan kaum melalui ucapan dan tindakan manakala yang lain lebih kepada penegasan dan ruang kepada awam untuk mendapat penyelesaian melalui Suruhanjaya yang diberikan autoriti mediasi dan adjudikasi.

Kebimbangan

Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan muncul dalam suasananya yang unik di mana asas kewujudan negara ini dilembagakan dalam artikel utama perlembagaan negara.

Artikel penting yang dimaksudkan ialah kedudukan Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu. Ramai pihak yang bimbang adakah dengan RUU ini akan menjejaskan ketiga-tiga artikel penting ini dan adakah ia akan menjejaskan sebarang bentuk dasar mementingkan pembelaan Melayu dan Bumiputera yang boleh dianggap sebagai tindakan diskriminasi.

Isu meritiokrasi dijadikan sebagai hujah bahawa jika undang-undang ini berkuatkuasa, Melayu khusus di luar bandar yang perlu pembelaan akan terus terpinggir.

Ada pula yang menganggap Islam akan terjejas kerana diletakkan sebagai satu jenayah jika sebarang kenyataan boleh dianggap melahirkan kebencian, apakah kebencian itu jika ia merupakan satu hak? Tidak kurang juga yang merasakan undang-undang baru ini seolah menyekat kebebasan bersuara.

Memahami RUU Keharmonian Nasional

Pertama, nama undang-undang ini dipositifkan kepada matlamat yang hendak dicapai iaitu keharmonian dan rekonsiliasi berbanding dengan nama sebelumnya yang cuba menyelesaikan isu memelihara perpaduan dengan nama Akta Hasutan.

Setelah merdeka sekian lama, rakyat Malaysia seharusnya bersedia melihat isu perpaduan dalam rangka yang lebih spesifik dengan menjadikan punca utama kepada tercetusnya kebencian dan permusuhan sebagai satu jenayah sama ada ia berbentuk ucapan ataupun tindakan.

Kalau dalam akta hasutan isu perpaduan lebih mengutamakan apa yang dikehendaki oleh pemerintah tetapi dalam undang-undang baru ini pemerintah juga bertanggungjawab bagi memastikan keharmonian nasional tercapai.

Keperluan menghapuskan Akta Hasutan semakin terdesak apabila akta ini dibentuk oleh penjajah British bagi berhadapan dengan pejuang kemerdekaan.

Akta Hasutan 1948 bermentaliti hubungan tuan dan hamba manakala undang-undang baru ini bermentalitikan sebuah negara yang merdeka dan ingin membentuk masa depannya sendiri dengan menghukum para perosaknya.

Kepada mereka yang mahu mengekalkan Akta Hasutan, saya ingin bertanya apakah mereka mahu negara ini terus bermentalitikan pemikiran kolonial dalam menguruskan soal perpaduan di negara yang sudah merdeka sejak tahun 1957?

Memelihara asas

Dengan penuh sedar kepada asas negara, kami mendrafkan perundangan baru ini dengan mengambil kira kedudukan Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu.

Kesemua peruntukan dalam perlembagaan persekutuan berkenaan hal tersebut terpelihara melalui pengecualian dengan memberikan intepretasi bahawa ia adalah konsisten dengan peruntukan perlembagaan.

Malah konsep anti-diskriminasi itu sendiri hanya menegaskan lagi artikel 8 dalam perlembagaan yang menyatakan bahawa setiap warganegara ini dianggap sama di hadapan undang-undang dan mereka tidak boleh dibeza-bezakan atas alasan, kaum, agama, keturunan, tempat lahir, dan jantina. Kami cuma menambahkan satu lagi alasan diskriminasi iaitu ketidakupayaan fizikal.

Persoalan diskriminasi ditakrifkan mengikut dua bentuk diskriminasi yang terpakai oleh perundangan iaitu diskriminasi positif dan diskriminasi negatif.

Ia perlu untuk membezakan sesuatu diberi keutamaan secara positif atas keperluan, konteks dan pengkhususan tertentu manakala yang negatifnya ialah dalam ketiadaan alasan yang diberikan di atas seseorang dibeza-bezakan tanpa sebab.

Orientasi seksual

Dalam draf yang dicadangkan, alasan pembezaan bawah kategori jantina atau gender disebut perkataan ‘orientasi seksual’. Kami terbuka dalam kritikan terhadap orientasi seksual ini, malah ia menjadi tajuk panjang dalam perbahasan kami pada siri-siri mesyuarat yang dijalankan.

Walaupun demikian roh yang ada dalam draf ini sebenarnya lebih kepada soal pengambilan kerja supaya seseorang tidak didiskriminasikan kerana orientasi seksualnya.

Dengan mengambil kira secara permukaaannya, implikasinya pula amatlah besar kerana ia menyentuh soal pengiktirafan dan ini boleh menimbulkan pelbagai polemik.

Sebagaimana yang saya nyatakan, isu ini masih terbuka kepada kritikan dan perbahasan, ia bukan muktamad dan boleh ditambah dan dikurangkan dengan respon yang kami terima.

Tak perlu undang-undang?

Tanggapan ini pula mengandaikan bahawa lebih banyak undang-undang tentang hubungan kaum dan agama dibuat, lebih banyak penindasan berlaku dan akan lebih tidak demokratik sesebuah masyarakat itu.

Tanggapan ini betul pada satu segi tetapi tidak tepat jika diterima bulat-bulat.

Ini memandangkan kepada faktor sebenarnya yang menyumbang kepada penindasan dan tidak demokratik itu bukanlah undang-undang tetapi pendakwaan terpilih dan sikap pemerintah yang mahukan status-quo.

Dengan merumuskan kononnya kita tidak perlu kepada undang-undang keharmonian di atas alasan ini, ia seoalah-olah berkata kita tidak perlu lampu isyarat lagi hanya kerana ia sering rosak.

Seterusnya, masyarakat awam perlu memahami bahawa draf RUU ini bukanlah tongkat sakti yang ada jawapan segala-segalanya.

Kami memahami keterbatasan inisiatif ini dan sedar bahawa jurisdiksi kami amatlah terbatas. Kami tidak berkuasa atas pendakwaan terpilih dan usaha pendemokrasian yang lembap dan begitu juga soal menimbulkan kesedaran perpaduan yang lebih besar.

Aspek lain bagi melahirkan masyarakat yang sedar dan menolak budaya cetusan kebencian kaum dan agama serta menolak amalan membeza-bezakan manusia perlu dimainkan peranannya oleh aspek lain yang luar dari kerangka perundangan iaitu pendidikan.

Walaupun perundangan itu sebahagian daripada pendidikan namun kematangan dan kejelasan berfikir setiap warganegara adalah benteng utama menjayakan misi keharmonian nasional dan rekonsiliasi ini.

Zaman kini bukan lagi zaman kita dipaksakan apa yang orang lain mahu, ia zaman yang menentukan apa yang kita mahu. Draf RUU Keharmonian Nasional dan Rekonsiliasi ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk memilih apa yang mereka mahu.

Sekian lama kita dihantui hubungan antara kaum dan agama yang mencabar asas kewujudan negara ini, kini sudah tiba masanya rakyat membuat pilihan yang tepat untuk membina Malaysia ke arah yang lebih baik.



MUJAHID YUSOF RAWA ialah pengerusi Jawatankuasa Kerja Perundangan dan Polisi, Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional.

Tiada ulasan: