Sabtu, 28 Jun 2014

Pelajar UPM Bantu Bina Rumah Orang Asli




Sukarelawan UPM berusaha membina rumah di perkampungan orang asli di Bukit Jenuk.

Oleh: S.PUSPADEVI 


SATU pengalaman baru bagi mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila mereka diberi peluang untuk membina rumah papan untuk penempatan orang asli di Bukit Jenuk, Dengkil baru-baru ini.

Menerusi penyeliaan NGO tempatan iaitu Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia (Insaf), kumpulan pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam itu berpeluang merasai sendiri pengalaman membina rumah dan aktiviti kesukarelawanan di bawah projek Good Day, Star Publication (M) Bhd.



Mantah Anak Ayap bersama keluarganya di hadapan rumah yang siap dibina.


Presiden Insaf Malaysia, Ishak Abdul Kadir berkata kumpulan mahasiswa itu diberi taklimat selama 30 minit mengenai 'Program Amal Tampal Rumah' sebelum dipecahkan kepada beberapa kluster.

"Mereka dipecahkan kepada empat kluster - makanan, mencuci (bekalan air bersih dan kebersihan), tempat tinggal, perubatan dan diberikan pelbagai tanggungjawab.

"Mereka kemudiannya membina khemah dan dapur," katanya ketika ditemui di tapak pembinaan.

Hari berikutnya, kumpulan pelajar itu memulakan kerja seawal pukul 7 pagi bagi membina rumah seorang warga emas, Mantah Anak Ayap berusia 64 tahun.

"Mereka bekerja dalam kluster masing-masing dan akan menukar tugasan setiap dua jam bagi membolehkan setiap peserta menimba pengalaman daripada tugasan berbeza," katanya.


Rumah yang siap dibina.


Menurut Ishak, idea program berkenaan diambil dari Indonesia di mana sekumpulan pelajar universiti di Jakarta membina semula rumah untuk penduduk di sana.

Di Jakarta program berkenaan dikenali sebagai 'Pecah Rumah'.

"Empat kluster itu pula diambil daripada Sistem Kluster Bangsa-Bangsa Bersatu dan matlamat kami ialah untuk menyerap nilai kemanusiaan," katanya.

Jelas beliau ini merupakan program kedua kendalian pihaknya bersama pelajar universiti.


Khemah peserta sukarela.


Sebelum ini Insaf pernah bekerjasama dengan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk membina semula rumah orang asli di Kampung Gumum, Pahang.

Katanya program seumpama itu berjaya membuka mata kumpulan pelajar berkenaan yang kurang menerima pendedahan mengenai aktiviti kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.

Bagi Faiz Mohd Rasid, pelajar tahun dua Fakulti Kejuruteraan Awam, dia berbangga kerana terpilih menyertai program itu.

"Walaupun saya pernah berkunjung ke perkampungan orang asli sebelum ini, namun pengalaman mengubah kehidupan masyarakat ini adalah sangat berbeza.


Kumpulan pelajar itu turut menyediakan juadah makanan untuk semua yang terlibat.


"Terima kasih kepada Insaf kerana saya kini sudah tahu bagaimana untuk membina rumah papan," katanya yang berusia 21 tahun.

Selain itu Siti Nur Farhanim, 22, dari fakulti yang sama turut bersetuju dengan pandangan Faiz.

"Kali pertama saya sampai di sini agak terkejut melihat keadaan rumah mereka yang dibina sendiri. Keadaannya agak daif tanpa bekalan elektrik dan air bersih," katanya.

Tiada ulasan: