Jumaat, 27 Jun 2014

Kelantan lulus RUU enakmen kawalan agama

Enakmen bertujuan menyekatkan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.


PETALING JAYA: Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan telah meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan dan Pengembangan Agama Bukan Islam (1981) pindaan 2014 bagi menyekatkan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Datuk Nassuruddin Daud berkata, hampir kesemua negeri di Malaysia mempunyai enakmen tersebut kecuali Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.

“Enakmen itu selaras dengan Islam sebagai agama persekutuan dan rang undang-undang tersebut sebulat suara disokong oleh semua ADUN,” kata Nassuruddin sebagaimana dilaporkan oleh Harakah Daily.

Katanya, walaupun Islam adalah agama persekutuan, namun agama-agama lain bebas untuk diamalkan di negara ini.

“Kerajaan negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada ADUN yang menyokong penuh pindaan enakmen tersebut bagi menghalang penyebaran agama lain kepada orang Islam,” katanya.

Sebelum itu tiga orang ADUN telah mengambil bahagian untuk berbahas menyokong rang undang-undang terbabit iaitu ADUN Kok Lanas, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad, ADUN Melor, Dr. Md Yusnan Yusof dan ADUN Kemuning, Mohd Roseli Ismail.

Dr. Md Yusnan berkata, pindaan berkenaan dibuat selaras dengan Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan yang menyekat penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

Mohd Alwi memberitahu pindaan tersebut dilakukan tepat pada masanya dan ia dianggap sebagai keperluan ketika ada usaha memperlekehkan agama Islam.

“Kita perlu sepakat bagi mempertahankan agama Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu biar pun berlainan ideologi politik. Perbezaan pendapat tidak menghalang kita bersatu mempertahankan Islam.

“Hentikan perbalahan demi Islam. Lagi pun sekarang ada pertubuhan yang berani mengadakan perhimpunan mempersendakan Islam. Kita tidak mahu jadi macam negara-negara lain,” katanya.

Mohd Roseli pula berkata, sekarang bukan sahaja orang bukan Islam yang mempersendakan Islam, malah ada orang Melayu juga melakukan tindakan serupa.

“Sebelum ini kita pernah mendengar ada pemimpin menyebut kalau hendak makan sup tangan boleh datang ke Kelantan,” katanya.

Beliau juga berharap kerajaan negeri mendapatkan surat persetujuan daripada kerajaan pusat bagi menyokong usul mengenai hudud di parlimen bagi membolehkan ianya dilaksanakan di Kelantan.

Sebelum ini Dun Kelantan juga telah meluluskan penubuhan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Kelantan bagi memperkasakan lagi sektor tersebut di negeri ini.

Tiada ulasan: