NURUL IZZAH


KUALA LUMPUR - "Jangan naikkan cukai taksiran jika perkhidmatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih tidak memuaskan," kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Menurut Nurul Izzah, kenaikan cukai pintu itu sepatutnya selari dengan peningkatan mutu perkhidmatan dan tahap kepuasan orang ramai terhadap pihak berkuasa tempatan itu.

"Sebarang kenaikan harus sejajar dengan peningkatan perkhidmatan, adakah kita berpuas hati dengan perkhidmatan DBKL?

"Adakah jalan raya dalam keadaan tip top ditar dan isu-isu lain yang berkait dengan perkhidmatan DBKL, sebenarnya tidak.

"Saya harap DBKL khususnya menteri belajar daripada kesilapan lampau, apa pun proses perlu mendapatkan penglibatan dan pendengaran yang setimpal dengan warga Kuala Lumpur," katanya selepas Dialog Jenayah bersama penduduk Bangsar, di sini, malam semalam.

Selasa lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan kadar cukai taksiran akan dihadkan kepada 10 peratus bagi perumahan dan 25 peratus bagi hartanah komersial.

Katanya, pengumuman itu berdasarkan keputusan yang telah dipersetujui Kabinet baru-baru ini.

Ditanya tentang kenaikan cukai taksiran tahun depan, beliau bagaimanapun tidak memberi sebarang jaminan mengenai perkara itu.

Mengulas lanjut, Naib Presiden PKR itu menggesa DBKL mengemas kini data pemilik hartanah dalam mengenal pasti antara untuk kegunaan sendiri atau komersil dapat dibezakan sebelum cukai taksiran itu dikutip.

"Saya harap lebih telus daripada DBKL dan menteri, jangan salahkan PR dalam hal ini.

"Kenaikan itu rasionalnya secara berperingkat dan harus setimpal dengan perkhidmatan yang konsisten.

"Kenaikan itu harus ada sedikit rasional dan perancangan baik, bukan kata tidak boleh tingkatkan, pada saya tugasan DBKL itu patut bersyarat, selangkah demi selangkah sebelum pelaksanaan itu," katanya lagi.