Jumaat, 27 Jun 2014

Elektrik putus ketika kira undi cabang Khalid

MALAYSIAKINI




 


PKR mengakui bekalan elektrik terputus sewaktu pengiraan kertas undi melibatkan cabang Kuala Selangor, yang menyaksikan tewasnya Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai ketuanya, pada awal pagi Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan (JPP) PKR Datuk Johari Abdul bagaimanapun menolak spekulasi bahawa JPP "ada peranan" dimainkan dalam insiden yang berlaku sewaktu pengiraan undi bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat sedang berlangsung.

"Kita menolak spekulasi bahawa ada peranan dimainkan JPP. (Dakwaan) itu tidak benar.

"Kejadian tidak hanya berlaku di ibu pejabat PKR sahaja, tapi seluruh blok di Tropicana," katanya dalam sidang media hari ini.

Johari berkata sejurus selepas berlakunya insiden itu, pihaknya telah mengarahkan petugas, pengawas, wakil calon meninggalkan pusat pengiraan selepas langkah-langkah keselamatan diambil termasuk mengambil gambar dan tidak mengusik kertas undi.

Pihaknya juga terus menghubungi TNB bagi melaporkan insiden yang berlaku dan segera menyambung bekalan elektrik yang terputus.

Katanya, bekalan elektrik disambung semula jam 2 pagi dan pihaknya menyambung semula proses pengiraan.

Menurutnya lagi sewaktu insiden itu berlaku, JPP sedang dalam proses mengira kertas undi bagi jawatan MPP di mana beliau difahamkan Khalid "mendahului" pencabarnya bagi jawatan timbalan presiden.

"Undi bagi jawatan di cabang masih belum dikira," katanya yang juga ahli parlimen Sungai Petani.

Pemilihan semula 3 cabang esok

Johari berkata beliau dimaklumkan satu substesyen TNB berdekatan blok bangunan itu rosak menyebabkan keseluruhan blok bangunan itu terputus bekalan elektrik.

Mengulas penangguhan pemilihan semula cabang PKR Kelana Jaya dan Puchong - yang sepatutnya berlangsung esok kepada 10 Ogos - Johari berkata pihaknya perlu menyediakan keperluan logistik
petugas yang bertugas diambil luar Selangor.

Malah, sambutan Ramadan pula dijangka pada 29 Jun dan mereka tidak sempat untuk pulang menyambutnya bersama keluarga.

Apatah lagi dua cabang mempunyai ramai ahli dan terdapat permohonan daripada calon-calon yang bertanding meminta supaya tarikh itu ditangguhkan.

"Sebagai JPP kita fleksibel, demi untuk keadilan untuk calon-calon dan anggota untuk membuat pemilihan. Walaupun kita tak gembira, tapi kita juga buat pertimbangan," katanya.

Tiga cabang Sepang, Subang dan Sungai Besar akan mengadakan pemilihan pada esok, tambahnya.

Manakala empat di Sabah - Tenom, Pensiangan, Keningau dan Papar. Sementara di Sarawak ialah Batang Sadong, Julau, Kapit, Limbang dan Sarikei.

"Cabang di Sabah dan Sarawak tiada penangguhan. Sementara saya jangka pemilihan di Subang dilihat menarik," katanya.

Beliau menjangkakan keputusan rasmi akan diperolehi pada 12 Ogos depan - sebelum Kongres PKR yang berlangsung pada 22 Ogos.

Tiada ulasan: